BUBUR LAMBUK BUAT WARGA PSB

Ramadan 1439H menyaksikan kesinambungan amalan murni yang berterusan oleh Badan Amal dan Kebajikan Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), buat semua warga Perpustakan Sultanah Bahiyah (PSB) serta masyarakat di sekitarnya. Ini kerana, pada 5 Jun 2018 yang lalu, ahli BAKAL telah terlibat dalam aktiviti gotong-royong menyediakan bubur lambuk untuk santapan berbuka puasa.

Aktiviti mengacau bubur lambuk ini telah menjadi acara tahunan yang sering diadakan bukan sahaja kerana manfaat pahalanya yang berganda malahan ianya juga memupuk jalinan kerjasama serta silaturrahim sesama sukarelawan yang terdiri daripada ahli BAKAL dan juga staf daripada pusat tanggungjawab yang terlibat.

Bertempat di dapur Masjid Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM), para sukarelawan telah mula berkumpul seawal jam 8.30 pagi. Tugasan dimulai dengan penyediaan bahan-bahan seperti memotong bawang dan daging, membasuh beras, mengupas udang dan lain-lain lagi. Ketika memasak, bubur lambuk ini hendaklah sentiasa dikacau dengan lebih kerap untuk mengelakkannya daripada hangit memandangkan penyediaannya adalah dalam jumlah yang besar. Sebahagian sukarelawan terutamanya kaum lelaki berganti-ganti untuk sentiasa mengacau bubur lambuk ini.

Setelah selesai memasak, para sukarelawan bertungkus-lumus membungkus bubur lambuk tersebut untuk diedarkan kepada warga PSB, warga UUM dan masyarakat sekitarnya. Aktiviti ini tamat pada sekitar jam 12.30 tengahari.

Semoga di Ramadan yang akan datang, aktiviti ini dapat diteruskan untuk mengimarahkan lagi sambutan Ramadan di samping memperolehi redha Ilahi.

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

21total visits,3visits today