CERAMAH “RAMADHAN DALAM BUDAYA KERJA”

28 Mei 2018 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan satu ceramah Ramadhan Siri 1 dengan jayanya bersempena mengimarahkan sambutan bulan Ramadhan tahun ini. Ceramah ini adalah anjuran Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), PSB bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan PSB bernula jam 11.00 pagi. Ia telah disampaikan oleh Yang berbahagia Ustaz Lutfi Amir Bin Saidin dengan tajuk “Ramadhan dalam Budaya Kerja”.

Dalam ceramah tersebut beliau berkongsi tadabbur Surah Ali-Imran ayat 14 hingga 17 serta menyarankan untuk mengambil pengajaran daripadanya. Ayat tersebut menyentuh mengenai betapa perhiasan dunia adalah cabaran dan dugaan kepada manusia, namun bagi orang yang beriman, adalah pasti akan diberi ganjaran syurga yang kekal abadi oleh Allah S.W.T.

Di kesempatan ini juga, beliau turut berkongsi mengenai 5 ciri-ciri ahli syurga. Menurut beliau, untuk tinggal di dalam syurga, seseorang itu haruslah menjadi seorang yang sabar (assobirin), bercakap benar (assodiqin), taat perintah Allah (alqonitin), bersikap dermawan dan yang kelima adalah untuk sentiasa bertaubat. Beliau juga menyaran untuk sentiasa berzikir dan berselawat sambil menyelesaikan tugasan harian ketika di tempat kerja agar pahala menjadi berganda di bulan yang mulia ini.

Ceramah ini telah berakhir pada jam 12.30 tengahari. Semoga dengan perkongsian ini, kita dapat mengamalkan sunnah dalam kerja seharian kita agar ianya menjadi ibadah seterusnya menjadi bekal akhirat kelak.

Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh: Hanie Azyyati Abd Jami

26total visits,1visits today