CORETAN PENGALAMAN PELAJAR PRAKTIKUM DARIPADA USIM

Bermula 4 Februari hingga 24 Mei 2018, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), telah menerima 2 orang pelajar praktikum daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kehadiran mereka adalah sebahagian daripada kewajipan memenuhi kursus pengajian yang telah ditetapkan oleh universiti pengajian mereka. Berikut adalah sedikit coretan pengalaman oleh mereka sepanjang menjalani latihan praktikum di PSB.

Coretan pertama oleh : Nabila Huda Binti Salleh

Saya telah menjalani praktikum di PSB selama 4 bulan. Sepanjang tempoh itu, saya telah menjalani orientasi di semua bahagian PSB dari minggu ke minggu. Kemudian saya ditempatkan dibahagian Arkib di mana saya telah mendapat tugasan mengenai “Documentation of Management Islamic Gallery”. Sepanjang menyiapkan tugasan ini, saya perlu mengkaji dan mengenali pengurusan yang telah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang boleh dikaitkan dalam Pengurusan Galeri. Selain itu, saya juga terlibat dengan aktiviti 5S yang memberi saya pengalaman bekerja secara berkumpulan dan saling memberi pendapat dalam menghasilkan kreativiti. Saya juga turut terlibat dengan aktiviti mengendalikan lawatan dari komuniti luar ke PSB yang kebanyakkannya terdiri daripada kalangan guru dan pelajar sekolah rendah dan menengah. Hasil daripada latihan itu, saya dapat mengetahui tatacara dan kaedah berkomunikasi yang betul apabila berurusan dengan pihak luar. Di kesempatan ini juga, saya ingin berterima kasih kepada semua pustakawan kerana tidak jemu memberi tunjuk ajar dan sokongan sepanjang 16 minggu menjalani latihan industri di PSB.”

Coretan kedua oleh: Awatif binti Wan Hassan

“Pengalaman di PSB sangat menyeronokkan dan membuka minda kami untuk mengetahui selok-belok pengurusan perpustakaan disamping dapat mengaplikasikan ilmu-ilmu yang telah dipelajari selama ini. Selain itu, pihak PSB juga tidak jemu memberi tunjuk ajar dan sokongan sepanjang 16 minggu menjalani latihan industri disana. Kami berasa amat bertuah kerana diterima untuk menjalani latihan industri di PSB kerana dapat menimba ilmu dan pengetahuan sebagai langkah persediaan kami menghadapi alam pekerjaan kelak. Akhir kata, kenangan terindah di PSB akan sentiasa berada dalam ingatan.”

Pihak PSB juga merakamkan jutaan terima kasih kepada mereka berdua atas segala jasa dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang berada di sini. Semoga mereka sentiasa berjiwa cekal dalam menghadapi cabaran di masa hadapan.

Disediakan oleh: Nabila Huda Binti Salleh (USIM) & Awatif binti Wan Hassan (USIM)

Disunting oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Bahagian Media dan Koleksi Khas

44total visits,3visits today