GOTONG-ROYONG BUBUR LAMBUK ERATKAN UKHUWAH

Program Gotong-Royong Penyediaan Bubur Lambuk Ramadan 1437H Antara Jabatan adalah program tahunan anjuran Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM). Ia telah menjadi kebiasaan bagi warga UUM daripada pelbagai jabatan bersama-sama menyumbang wang dan tenaga dalam menyediakan bubur lambuk dan diagihkan kepada warga kampus malahan masyarakat di sekitarnya terutamanya di bulan yang penuh barakah ini. Tahun ini, program telah berlangsung sepanjang bulan Ramadan bermula pada 7 sehingga 30 Jun 2016.

Oleh itu, pada tanggal 9 Jun 2016 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang diwakili oleh Kelab Badan Kebajikan dan Amal (BAKAL) dan beberapa jabatan lain seperti Pusat Pengajian Kuantitatif (SQS), Pusat Kokurikulum dan Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Petronas pula turut serta menjayakan program yang bertempat di perkarangan Masjid UUM ini. Seramai 20 orang sukarelawan termasuklah ahli jawatankuasa dan ahli BAKAL hadir untuk bergotong-royong bersama dengan kakitangan daripada jabatan lain yang terlibat. Penyediaan bubur lambuk bermula seawal jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 petang.

Program seperti ini harus diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja dapat mengeratkan ukhwah di kalangan warga UUM tetapi juga dapat memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain.

Disediakan oleh : Norashikin Ibrahim
Gambar : Mohamad Fuzi Ismail

32total visits,1visits today