TERIMA KASIH PN. NAIMAH RAMDAN DAN SELAMAT BERSARA

Tanggal 20 Jun 2016 yang lalu adalah merupakan hari terakhir Puan Naimah Ramdan bertugas sebagai Pustakawan Kanan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) sebelum beliau menjalani kursus pra-persaraan selama 3 bulan setelah berkhidmat selama 26 tahun. Oleh itu, pihak perpustakaan mengambil peluang ini untuk merakamkan saat-saat hari terakhir perkhidmatan beliau di sini.

Kerjaya beliau bermula di PSB pada 17 Jun 1990 sebagai Pustakawan di Bahagian Pemerosesan Teknik selama 2 tahun. Selepas itu beliau ditukarkan ke Bahagian Perolehan pada tahun 1992 sehingga tahun 1994 dan kembali semula ke Bahagian Pemerosesan Teknik pada tahun 1994 sehingga tahun 1997.

Berkat kesabaran, komitmen yang diberikan serta prestasi cemerlang yang ditunjukkan, beliau dilantik menjadi Ketua Bahagian Pemerosesan Teknik pada tahun 1998 sehingga tahun 2004. Menurut beliau, kerjayanya menjadi semakin mencabar apabila dilantik menjadi Ketua Bahagian namun ianya merupakan pendorong dan semangat untuk beliau melangkah lebih jauh.

Selepas 15 tahun berkhidmat, beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Pustakawan Kanan pada 30 Ogos 2005 dan dilantik menjadi Ketua Bahagian Siri dari tahun 2005 sehingga tahun 2006 seterusnya menjadi Ketua Bahagian Unit Latihan dan Kualiti dari tahun 2006 sehinggalah beliau bersara.

Kata-kata terakhir dan pesanan beliau kepada semua warga PSB seperti berikut;

“Saya gembira menjadi warga PSB, terselit di dalam hati, rasa sayang pada semua, hanya Allah sahaja yang tahu. Untuk membina satu pasukan mengambil masa yang lama, namun untuk meruntuhkannya sekejap sahaja. Harapan saya agar ahli PSB terus memantapkan pasukan kerja dengan cara saling hormat-menghormati, di hati ada rasa sayangkan rakan-rakan kita dan ambil tahu serba sedikit hal rakan di kalangan kita dan saya memohon maaf kalau ada salah dan silap di atas segala kekurangan dan kelemahan diri, terutama sekali apabila menguruskan latihan staf dan saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas bantuan dan kerjasama semua dalam menjayakan program latihan selama ini. Setakat ini coretan saya, sekian dan salam kasih sayang semua.”

Seluruh warga PSB ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada beliau atas khidmat dan sumbangan yang telah diberikan dalam membawa PSB ke arah kejayaan. Jasa beliau tidak akan dapat dilupakan dan kami semua pasti merinduimu.

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Samsuhaimi Ghazali

54total visits,2visits today