JANGAN SIMPAN, LEBIH BAIK SERAH KEPADA ARKIB

“Jangan simpan, lebih baik serah kepada arkib,” ujar Dr. Hafizah Abdul Mutalib, pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam satu sesi temubual.

“Saya fikir kalau bahan akademik diserah kepada arkib, bahan tersebut boleh dikongsi dengan ramai pengguna dan mampu memberi manfaat kepada orang lain.

“Saya sarankan pensyarah kalau ada bahan-bahan yang boleh dikongsi, jangan simpan sebab benda ni kan ilmu, lebih baik kita sebarkan dengan menyimpan di arkib supaya orang lain boleh akses dan tahu apa yang kita dah buat dan seterusnya orang lain dapat manfaat dari bahan tersebut,” katanya.

Beliau merupakan salah seorang penerima Anugerah Ikon Penyumbang Arkib Terbanyak sempena Majlis Penutup Hari Bersama Pelanggan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang bermula 19 Mac lalu.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah yang sama, Dr. Salmah Omar, pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah UUM berkata idea untuk menghantar bahan penulisannya dari semua penerbitan seperti artikel bab dalam buku, proceeding dan banyak lagi.

“Saya dan rakan-rakan agak terkejut dengan anugerah ini. Bagi saya ini salah satu cara terbaik dalam menggalakkan orang ramai menyumbang bahan untuk disimpan di Bahagian Arkib PSB UUM. Saya amat galakkan rakan-rakan lain untuk membuat simpanan bahan di sini.

“Saya yakin dengan kualiti perkhidmatan Bahagian Arkib PSB dalam memastikan semua penerbitan UUM dikumpul dan dipelihara daripada kerosakan, kehilangan dan mudah dirujuk pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis yang sama, Penolong Pengurus (Teater dan Filem) dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan turut menyumbang 1,000 buku kepada Bahagian Arkib, PSB.

Anugerah lain yang turut disampaikan adalah Anugerah Peminjam Buku Terbanyak, Anugerah Pengunjung Paling Kerap, Anugerah e-Resources Paling Aktif dan Anugerah Ikon Penyumbang Arkib Terbanyak.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program Hari Bersama Pelanggan PSB antaranya Mini Book Fair 2019, pertandingan video pendek, A Talk On Guide To getting Published, zumba, pertandingan bercerita kanak-kanak dan Training On Thomson Reuters Datastream And Eikon.

Hari Bersama Pelanggan bertujuan mendekatkan PSB dengan pelanggan terdiri dalam kalangan pensyarah, staf, pelajar dan orang ramai.

Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan Arkib PSB bolehlah menghubungi Puan Noorfauziati Mat Yatim di talian 04-928 3681.

Disediakan oleh : Nasiha Binti Abdul Rashid

61total visits,2visits today