PERTANDINGAN VIDEO PENDEK BERTEMAKAN “PERPUSTAKAANKU”

Pertandingan Video Pendek adalah merupakan sebuah pertandingan anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) bersempena dengan sambutan ‘Hari Bersama Pelanggan PSB 2018’. Pertandingan ini telah mula diwar-warkan pada 1 Mac 2018 dan tarikh tutupnya adalah pada 22 Mac 2018.

Pertandingan ini terbuka kepada semua staf dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak kira pelajar tempatan atau antarabangsa. Tema video adalah yang berkaitan dengan PSB meliputi suasana pembelajaran, persekitaran, kemudahan, perkhidmatan, dan staf perpustakaan. Walaubagaimanapun, sebarang unsur politik, hasutan dan perkauman adalah dilarang sama sekali.

Peserta pertandingan juga perlu menghantar video mereka yang berdurasi maksima 3 minit (180 saat) sahaja. Selain itu, sebagai salah satu syarat pertandingan juga, peserta perlu berkongsi hasil video mereka di laman Facebook PSB dan seterusnya pemenang adalah ditentukan dengan video yang mendapat 50 peratus ‘Like’ terbanyak di laman Facebook PSB selain 50 peratus lagi adalah ditentukan dengan nilai kreativiti yang diadili oleh juri professional lantikan PSB.

Sekalung tahniah diucapkan kepada pemenang Tempat Pertama pertandingan ini iaitu saudara Mohd Amzar Firdaus Bin Said bersama ahli kumpulannya dengan tajuk ‘Cebisan Nota’. Mereka telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM300 beserta hamper dan sijil. Manakala tempat kedua pula dimenangi oleh saudara Muhamad Nabil Bin Mohd Khairil dengan tajuk videonya “Selangkah ke Perpustakaan, Sejuta Pengetahuan” yang turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM200 beserta hamper dan sijil. Tempat ketiga pula telah dimenangi oleh saudari Siti Nurhajar Bt Mohd Mani dengan video bertajuk “Library  Garden Of Books, Full Of Love”. Beliau turut menerima hadiah wang tunai berjumlah  RM100 bersama-sama hamper dan  sijil.

Kesimpulannya, pertandingan seumpama ini adalah sesuatu yang baharu dan julung kali dianjurkan oleh PSB. Seiring dengan perkembangan teknologi media sosial serta perkembangan minat generasi muda masa kini, diharap pertandingan seumpama ini dapat mencetuskan revolusi positif dan kreativiti pemikiran generasi muda terhadap Perpustakaan.

Disediakan oleh : Noraini Alias

Gambar oleh : Mad Affrizi Ismail & Abdul Halim Husain

38total visits,2visits today