KERJASAMA ANTARA PUSTAKAWAN PENGHUBUNG – WAKIL PUSAT PENGAJIAN BANTU MEMPERTINGKATKAN LAGI KUALITI PERKHIDMATAN PSB

15 Ogos 2017 – Satu mesyuarat di antara pustakawan penghubung bersama wakil pusat pengajian yang dilantik telah diadakan pada hari ini jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat , Paras 2, Bangunan Tambahan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Dalam mesyuarat ini, seramai 28 orang pustakawan penghubung dan wakil pusat pengajian telah terlibat dan termasuk juga Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan yang berperanan selaku Pengerusi mesyuarat.

Peranan utama pustakawan penghubung adalah sebagai pegawai penghubung di antara pusat pengajian dengan perpustakaan dalam menyokong proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Selain itu, ia juga boleh membantu memperkukuhkan pembangunan koleksi dan mempromosikan perkhidmatan perpustakaan dengan penglibatan yang aktif di semua pusat pengajian, mendapatkan senarai lengkap sinopsis kursus dan memastikan bahan-bahan rujukan yang disenaraikan terdapat di dalam koleksi Perpustakaan. Terkini, pustakawan penghubung juga mampu bertindak sebagai penyelaras bagi urusan cadangan pembelian bahan rujukan oleh pusat pengajian bagi kursus yang sedia ada dan kursus baharu, membantu menyediakan keperluan data untuk tujuan akreditasi program-program pengajian serta mendapatkan senarai nama pensyarah/pegawai penyelidik/pembantu penyelidik baharu dari pusat pengajian untuk diberikan kelas kemahiran maklumat khususnya penggunaan pangkalan data atas talian.

Perjumpaan ini bukan sahaja memberi peluang untuk mengenali wakil jabatan masing-masing malah PSB turut menerangkan  lain-lain perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan serta merupakan satu platform yang terbaik bagi membincangkan masalah dan memberi cadangan penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan kemudahan agar dapat memenuhi keperluan pengguna secara optimum terutamanya pelajar, staf akademik dan penyelidik.

Semoga dengan adanya program seperti ini dapat memberikan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung serta mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan PSB.

Disediakan dan gambar oleh : Hanie Azyyati Abdul Jamil

31total visits,3visits today