PERPUSTAKAAN RAUDHATUL ILMI DISERAHKAN KEMBALI KEPADA PUSAT ISLAM

Tanggal 1 Ogos 2017 merupakan satu tarikh yang bersejarah buat Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), apabila secara rasmi menerima penyerahan kembali tadbir urus Perpustakaan Raudhatul Ilmi daripada Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Sehubungan itu, satu Majlis Penyerahan Dokumen Tadbir Urus Perpustakaan Raudhatul Ilmi telah dilangsungkan di Bilik Mesyuarat Pejabat Ketua Pustakawan. Majlis penyerahan dokumen tersebut disempurnakan oleh Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Encik Salleh Hudin Mustaffa  manakala Pusat Islam UUM diwakili oleh  Prof. Madya Dr. Haji Ismail Hj. Ishak selaku Pengarah Pusat Islam UUM. Majlis menandatangani dokumen penyerahan tersebut turut dihadiri  oleh beberapa orang pegawai yang mewakili Pusat Islam dan juga PSB.

Ketua Pustakawan, Encik Salleh Hudin Mustaffa dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat  di dalam proses menjayakan peralihan tadbir urus Perpustakaan Raudhatul Ilmi . Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Perpustakaan Raudhatul Ilmi pada asalnya memang di bawah seliaan Pusat Islam tetapi diserahkan kepada PSB untuk menguruskannya pada tahun 2008. Sejak dari itu pihak PSB telah menambah koleksi buku-buku di Perpustakaan Raudhatul Ilmi sehingga menjadikannya melebihi 4,401 naskah. Selain itu, semua judul buku di koleksi perpustakaan ini telah dikatalog dan dimasukkan di dalam sistem komputer perpustakaan dan boleh diakses secara atas talian.

“Saya berharap dengan penyerahan kembali tadbir urus  Perpustakaan Raudhatul Ilmi kepada Pusat Islam akan dapat memajukan lagi perpustakaan ini pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Sementara itu Prof Madya Dr. Ismail Hj. Ishak selaku Pengarah Pusat Islam berharap agar PSB terus menjalinkan kerjasama bagi pembangunan Perpustakaan Raudhatul Ilmi pada masa akan datang. Dua orang Pembantu Perpustakaan Kanan iaitu Encik Madzlan bin Othman dan Encik Facrol Zikmi bin Amdah yang turut dikembalikan  ke Pusat Islam diharapkan dapat membantu memantapkan lagi perkhidmatan Perpustakaan Raudhatul Ilmi, “menurutnya lagi.

 Disediakan oleh: En. Muhamad Mazlan Jalla

Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail

36total visits,2visits today