PERSIAPAN PSB MENJELANG SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN

8 Ogos 2018 – Rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-61  tidak lama lagi. Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh yang amat bermakna di mana saat negara ini memperolehi kemerdekaannya.  Tiada yang lebih mengembirakan dan membanggakan daripada lahir dan membesar di negara yang merdeka yakni bebas daripada penjajahan.

Bersempena sambutan hari kemerdekaan ini, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) khususnya tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam aktiviti sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) 2018 dengan menyediakan pelbagai aktiviti kepada penggunanya. Bahagian Sirkulasi dan Khidmat Pembaca akan mengetuai dan bertanggungjawab dalam segala usaha persiapan dan penyediaan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tempoh sambutan ini berlangsung nanti.

Encik Norhardi Saad, Pustakawan Kanan berkata, “Sebagai pusat maklumat, kami merasakan ianya menjadi tanggungjawab kami untuk bersama-sama memberi kesedaran, mendidik dan menyebarkan fakta-fakta sejarah kemerdekaan kepada pengguna-pengguna kami terutamanya generasi muda bagi memperingati dan menghargai pengorbanan dan kepayahan untuk mencapai sesebuah kemerdekaan.”

“Secara tidak langsung, ini juga dapat memperkenalkan sejarah Malaysia kepada pelajar-pelajar dari luar negara.” ujarnya lagi.

Disediakan oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil

Gambar oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil & Norhardi Saad

8total visits,1visits today