LAWATAN KE PUSTAKA RAJA TUN UDA (PPAS) BERI INSPIRASI BUAT WARGA PSB

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan satu lawatan kerja ke Pustaka Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 29 Mac 2019 yang lalu bermula jam 3.00 petang.

Delegasi PSB telah disambut mesra oleh wakil Pustaka Raja Tun Uda iaitu Pn. Rozainees Kamaruddin dan beberapa orang staf yang lain. Lawatan ini seterusnya dimulakan dengan satu sesi taklimat ringkas. Menurut Pn. Rozainess “Perpustakaan Raja Tun Uda yang berkonsepkan “Perpustakaan Dalam Taman” ini dibina atas tapak berkeluasan 203,500 kaki persegi dengan anggaran kos RM70 juta termasuk kos reka bentuk dan prasarana dalaman”.

Tambah beliau, “Perpustakaan ini telah dirasmikan oleh Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pada hari Sabtu, 10 Disember 2011. Pembinaan perpustakaan itu dicetuskan sendiri oleh Sultan Selangor ketika kerajaan Selangor terdahulu mengisytiharkan Selangor sebagai negeri maju pada 2005. Bangunan baru setinggi enam tingkat ini mampu menempatkan seramai 2,500 orang pada satu-satu masa”.

Tujuan Lawatan ini diadakan adalah untuk meluaskan pandangan serta menimba ilmu  selain berkongsi pengalaman dan idea di antara PSB dan PPAS. Terdapat banyak servis dan fasiliti yang disediakan di Pustaka Raja Tun Uda ini, peserta lawatan juga turut mengambil peluang merasai pengalaman keterujaan menaiki Teater XD@6D yang merupakan teater simulasi pengembaraan yang mencabar dan menghiburkan kerana  ianya menggabungkan teknologi 6D motion ride iaitu gabungan kesan khas pencahayaan, gegaran kerusi yang sangat laju, kesan angin serta bunyi yang kuat dan visual 3D yang canggih.

Telah banyak perubahan dan pembaharuan yang dibawa oleh Pustaka Raja Tun Uda, PPAS ini bagi menarik minat masyarakat khususnya golongan remaja yang belum pernah datang ke perpustakaan untuk mengunjungi perpustakaan. Semoga ianya dapat memupuk minat membaca yang mendalam, setelah meneroka setiap tingkat perpustakaan yang berkonsepkan ‘Rumah Keduaku’ ini. Selain itu, servis-servis yang ditawarkan juga adalah merupakan sebahagian daripada pelaksanaan konsep edutainment di perpustakaan. Lawatan ini telah berakhir pada jam 5.00 petang.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias

Share :