LAWATAN KERJA PUSAT SUMBER MAKLUMAT, UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS KE PSB ERATKAN HUBUNGAN

Seramai 23 orang kakitangan Pusat Sumber Maklumat, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) mengadakan lawatan kerja buat kali pertama ke Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada 11 Mei 2014 disambut mesra oleh Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan serta diiringi oleh beberapa orang pegawai perpustakaan. Ini merupakan salah satu destinasi dalam siri lawatan kerja yang dijalankan oleh Pusat Sumber Maklumat, UTP ke kawasan utara semenanjung.

Menurut Puan Fimaris Mohamed Ariff selaku Pengurus Pusat Sumber Maklumat, UTP yang juga turut mengetuai lawatan ini, merasa amat kagum dengan keindahan persekitaran dan kemesraan komuniti kampus di PSB. Ujar beliau lagi, kunjungan ini bukan sahaja bertujuan memberi pendedahan kepada kakitangan Pusat Sumber Maklumat, UTP mengenai operasi perpustakaan-perpustakaan akademik yang lain malah ianya membuka ruang kepada kedua-dua buah institusi ini eratkan hubungan silaturrahim dan kerjasama di kalangan staf melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan amalan-amalan terbaik bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan di jabatan masing-masing.

PSB memulakan majlis dengan menyampaikan taklimat umum mengenai perpustakaan dan seterusnya sesi soal jawab. Akhir sekali mereka dibawa melawat ke bahagian-bahagian operasi utama PSB bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai sistem pengurusan, pelaksanaan tugas dan perkhidmatan serta proses-proses kerja di PSB. Lawatan ini berakhir pada jam 5.00 petang.

Oleh: Hanie Azyyati Abdul Jamil | Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

77total visits,1visits today