PSB Laksanakan Program Sehelai Baju Buatmu Sayang (SBBS)

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT yang telah mengizinkan perjalanan Program Sehelai Baju Buatmu Sayang (SBBS) berjalan dengan lancar. Program khidmat masyarakat yang telah dirancangkan sejak Ramadhan 1434H (2013) akhirnya berjaya mencapai matlamat asal iaitu untuk menyediakan dana serta memberikan sedikit kegembiraan buat anak-anak yatim dari Kompleks Anak Yatim Dan Miskin Baitul Ehsan, Perik, Kuala Nerang dalam bentuk sepersalinan pakaian raya.

Program yang dijalankan pada hari Jumaat, 11 Julai 2014 bertempat di Pasaraya Yawata, Jitra ini nyata memberi kesan mendalam khususnya buat semua ahli Kelab BAKAL yang terlibat menjayakan program pada hari tersebut. Keriangan, keterujaan dan kesedihan bercampur baur di hati ahli kelab BAKAL melihatkan keletah anak-anak ini memilih dan mencuba pakaian masing-masing. Selain daripada mendapat sumbangan wang hari raya dari seorang ‘Hamba Allah’ yang prihatin, anak-anak yatim dan miskin ini juga masing-masing mendapat minima dua (2) helai kemeja/tshirt, sehelai seluar jeans, sehelai track suit juga pakaian dalam, melebihi sasaran awal sepersalinan sahaja setiap seorang. Ada juga anak yatim perempuan yang memilih kasut dan stoking raya berbanding seluar.

Meskipun agak keletihan, kesemua ahli kelab BAKAL yang terlibat melahirkan rasa kepuasan melihatkan hasrat untuk menceriakan anak-anak ini telah tercapai. Dari satu sudut, kami menginsafi akan nasib segelintir dari masyarakat kita yang masih kurang bernasib baik namun dengan adanya program sebegini, diharapkan semua yang terlibat dari awal perlaksanaan termasuk yang menyumbang wang ringgit akan mendapat manfaat dan keredhaanNya di dunia dan akhirat.

56total visits,1visits today