MAJLIS KHATAM MENUTUPI TIRAI RAMADAN 1493H

11 Jun 2018 – Satu majlis khatam Al-Qur’an telah diadakan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB ) bagi menutup tirai bulan yang mulia khusus buat kumpulan tadarus Al-Qur’an muslimat yang telah diadakan sepanjang bulan Ramadan 1439H. Aktiviti ini merupakan anjuran Badan Amal dan Kebajikan Kakitangan Perpustakaan (BAKAL) pada setiap hari Ahad hingga Khamis, jam 12.30 tengahari sehingga jam 1.30 petang di sepanjang bulan Ramadan dan dihadiri oleh seramai 14 orang.

Aktiviti tahunan ini merupakan satu usaha untuk menghidupkan bulan Ramadan dan mempunyai objektif untuk membudayakan amalan bertadarus Al-Quran di kalangan staf PSB di samping merapatkan ukhwah di kalangan staf. Kaedah pembacaan atau tadarus ini dibuat dalam kelompok yang kecil dengan pembahagian juzuk mengikut giliran untuk diselesaikan pada penghujung bulan Ramadan.

Sepanjang berlangsungnya majlis khatam ini, bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an telah dipimpin oleh Puan Noor Zaina Samsudin dan seterusnya bacaan doa khatam Al-Qur’an telah disempurnakan oleh Puan Hasma Hj. Harun untuk diaminkan oleh semua ahli tadarus yang hadir.

Bagi merakamkan kenangan tersebut, satu sesi bergambar beramai-ramai telah diadakan di ruang rehat Pejabat Bahagian Perolehan. Akhir majlis, kesemua ahli tadarus telah bersepakat untuk terus mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama mereka dengan merancang untuk mengadakan satu majlis jamuan Aidil Fitri dek kerana kejayaan mereka untuk khatam Al-Qur’an di dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Mereka juga berazam supaya aktiviti mulia ini dapat diteruskan lagi pada tahun mendatang seandainya ini bukan ramadan yang terakhir buat pencinta Al-Qur’an muslimat PSB.

Majlis ini tamat sekitar jam 1.10 petang.

Disediakan oleh : Azniza Ahmad

Gambar : Noraini Alias dan Mazyana Hashim

37total visits,2visits today