MAJLIS PELANCARAN READ@UNI PERINGKAT UUM DISAMBUT MERIAH

Sempena Festival Buku Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah berlangsung pada 24 hingga 28 Februari 2019 yang lalu, satu Majlis pelancaran Program Read@Uni Peringkat UUM telah dilancarkan oleh Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abd Ghani, iaitu Naib Canselor  UUM. Majlis pelancaran ini telah berlangsung pada 25 Februari 2019 bertempat di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) pada jam 2.30 petang.

Majlis pelancaran ini merupakan salah satu inisiatif dalam menyahut hasrat Kementerian Pendidikan untuk menjadikan tahun 2030 sebagai sasaran untuk Malaysia melaksanakan impiannya sebagai negara yang paling ramai rakyat membaca. Oleh yang demikian, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang dan telah dilaksanakan bagi menyahut seruan ini di peringkat UUM.

Objektif utama program Read@Uni ini adalah untuk meningkatkan tabiat membaca, budaya membaca, berkongsi ilmu, menguasai dan mencintai ilmu di kalangan rakyat Malaysia khususnya pelajar universiti. Di peringkat UUM, Festival Buku UUM ini juga merupakan salah satu aktiviti mendokong program Read@Uni ini selain pelbagai lagi aktiviti yang akan dan sedang dilaksanakan antaranya adalah ‘Read@Uni Exhibition’, ‘Read@Uni Reading Novels Campaign’, Book Review Contest’ dan banyak lagi.

Perpustakaan Sultanah Bahiyah turut memainkan peranan yang besar dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti ini bertepatan dengan fungsi utama PSB dan juga sebagai gedung ilmu buat warga UUM. Oleh yang demikian, semoga segala aktiviti yang telah dan bakal diadakan dapat menarik minat membaca di kalangan warga UUM.

 

Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

Share :