MAJLIS SAMBUTAN HARI INOVASI PSB 2014 MERIAH

Pada 27 hb November 2014, Perpustakaan Sultanah Bahiyah(PSB) telah menganjurkan Hari Inovasi tahun 2014 peringkat jabatan, di Auditorium Baru.  Majlis anjuran Jawatankuasa Pemandu Kualiti Perpustakaan ini telah dirasmikan oleh Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB. Sambutan Hari Inovasi  ini diadakan  bertujuan memberi penghargaan dan anugerah kepada pemenang-pemenang yang telah menyertai acara dan pertandingan yang telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Pemandu Kualiti sepanjang tahun 2014 seperti  Kuiz Kualiti, Bicara Q, Cetusan Idea Q dan Resensi Buku.

“Hari ini adalah lebih baik daripada semalam.” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Hari Inovasi PSB 2014. Ini kerana penglibatan dan kerjasama staf dalam menyertai program-program seperti ini amat penting bagi menjana pemikiran kreatif dan inovatif terutamanya dalam melakukan penambahbaikan berterusan terhadap diri dan organisasi. Malahan ia dapat melatih staf dengan nilai-nilai kerja berpasukan, meningkatkan kemahiran berkomunikasi menerusi Pertandingan Bicara Q serta menanam budaya berkongsi maklumat dan pengetahuan melalui Pertandingan Resensi Buku.

Encik Salleh Hudin Mustaffa juga mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah di atas sumbangan mereka serta setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang telah menjayakan Majlis Hari Inovasi ini.  Beliau juga berharap agar Majlis Hari Inovasi ini dijadikan sebagai acara tahunan PSB di masa akan datang.

Tetamu jemputan yang turut hadir memeriahkan lagi majlis ini ialah Puan Hajah Maimunah Mohamad, Ketua Penolong Pendaftar,  Dr. Hasbullah Haji Ashari, Pensyarah, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik selaku juri Pertandingan Bicara Q. Manakala Puan Hasma Hj. Harun, Pustakawan Kanan, PSB sebagai juri Pertandingan Bicara Q dan Pertandingan Resensi Buku.

Majlis ini turut diserikan lagi dengan bacaan ikrar staf PSB yang diketuai oleh Encik Kamaruzzaman Sulaiman serta nyanyian koir lagu PSB yang berjudul “Kami Warga Pustaka”.

Selain itu, Jawatankuasa 5S Perpustakaan juga mengambil kesempatan di dalam majlis ini untuk menyampaikan Anugerah 5S kepada para pemenang menerusi pertandingan yang telah dianjurkan sepanjang tahun ini mengikut kategori seperti Kategori Zon,Workstation dan Workstation Ketua Zon.

Seterusnya majlis diakhiri dengan tayangan video, penyampaian cenderamata dan ucapan perpisahan bagi meraikan 3 orang staf PSB dalam sesi “Jasamu Dikenang” iaitu Encik Johari Senapi, Pembantu Perpustakaan Kanan yang bersara wajib, Encik Mohamad Jamil Saad, Pembantu Perpustakaan Kanan, bersara pilihan dan Puan Syarifah Hazwani Sayed Baharudin, Pustakawan yang menamatkan perkhidmatan beliau di UUM.

Oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim | Gambar oleh: Mohd Fuzi Ismail dan Ishar Md Zain

36total visits,1visits today