NUKILAN PENGALAMAN PELAJAR PRAKTIKUM

Sepanjang 5 bulan bermula Ogos sehingga Disember 2018, Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah menerima kehadiran 6 orang pelajar daripada Universiti Teknologi MARA, (UiTM). Kehadiran mereka adalah bagi menjalani latihan praktikum yang merupakan satu kewajipan untuk menamatkan pengajian mereka. Berikut adalah sedikit nukilan pengalaman mereka sepanjang berada di sini:

Nukilan pertama oleh : Nurul Najaa Binti Abdul Halim, UiTM Rembau

“Sepanjang saya berada di PSB, saya telah ditempatkan di Bahagian Sistem Komputer Perpustakaan. Di sini, saya telah berpeluang untuk mempelajari dan menggunakan sistem yang digunakan oleh PSB iaitu sistem SIERRA. Antara tugas yang telah saya lakukan adalah melakukan semakan bersiri dan mewujudkan item bagi rekod-rekod ERIC di dalam sistem ini. Saya berharap agar pengalaman yang telah saya perolehi ini dapat digunakan semasa memasuki alam pekerjaan kelak.”

Nukilan kedua oleh : Nurameera Qistina Binti Mahathir, UiTM Rembau

“Assalamualaikum, sepanjang saya berada di PSB, saya ditempat di bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Pelanggan, saya berpeluang untuk bertugas di kaunter Information Desk. Di situ saya banyak berhubung dengan pelajar tempatan dan antarabangsa. Banyak perkara yang saya belajar antaranya dalam menambahbaikkan lagi kemahiran komunikasi saya. Saya berharap pengalaman yang ada ini dapat digunakan untuk masa hadapan dan alam pekerjaan.”

 Nukilan ketiga oleh : Atiqah Binti Marzuki, UiTM Rembau

“Sepanjang latihan industri di bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca, saya banyak belajar perkara baharu di alam pekerjaan termasuklah berhadapan dengan pelajar-pelajar dari pelbagai latar belakang dan bahasa di mana saya perlu mengurus perkhidmatan penggunaan bilik karel. Malah saya juga belajar mengurus masa untuk setiap kerja yang diberikan dan perlu ianya diselesaikan dalam tempoh masa yang diberi. Dengan pengalaman-pengalaman ini, saya juga berpeluang meningkatkan lagi tahap komunikasi dan keyakinan saya. Terima kasih.”

Nukilan keempat oleh : Norsyazwani Binti Ismail, UiTM Rembau

“Sepanjang saya menjalani latihan industri di bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Pelanggan ini, saya dapat banyak pengalaman terutamanya dalam menjaga kaunter, menyusun buku, berinteraksi dengan pelajar dan banyak lagi. Malah saya juga banyak belajar mengenai ketepatan waktu apabila diberikan kerja dan saya mesti menyiapkan tugasan dengan segera. Selain itu, dengan pengalaman ini saya juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri dan dapat meningkatkan tahap komunikasi saya. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya menjalani latihan industri di perpustakaan ini.”

Nukilan kelima oleh : Noor Shazatul Niesha Binti Muhamad Fadzri, UiTM Merbok

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) kerana sudi menerima dan menyambut kedatangan saya serta rakan-rakan bagi menjalani latihan industri di sini. Dalam masa 5 bulan saya menjalani latihan ini, pelbagai nasihat berguna telah saya perolehi berdasarkan pengalaman kakitangan, mempelajari perkara-perkara baru yang tidak saya dapat di dalam kelas serta mempersiapkan saya untuk berhadapan dengan dunia pekerjaan sebenar. Perjalanan saya tidak berakhir di sini kerana terdapat banyak perkara yang perlu saya pelajari dan saya akan terus belajar dengan harapan dapat memberikan sumbangan dalam bidang perpustakaan suatu hari nanti. Terima kasih.”

Nukilan keenam oleh : Noor Izzati Fitri Binti Mat Azman, UiTM Merbok

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana saya dapat menamatkan latihan industri dengan jayanya. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Perpustakaan Sultanah Bahiyah kerana sudi menerima saya sebagai elajar praktikum selama 5 bulan. Selama tempoh 5 bulan menjalani latihan industri, pelbagai ilmu dan pengalaman yang saya dapat, yang akan menjadi panduan bagi saya di masa hadapan. Saya juga bersyukur kerana dikelilingi oleh staf perpustakaan yang ramah dan tidak kekok berkongsi ilmu dan pengalaman, terutamanya staf di Bahagian Arkib, yang telah banyak mengajar saya tentang skop kerja yang perlu saya jalankan. Pengalaman menjadi pelajar praktikum di Perpustakaan Sultanah Bahiyah ini tidak akan saya lupakan, ianya akan kekal menjadi kenangan yang terindah bagi saya. Terima kasih dan selamat tinggal.”

Seluruh warga PSB mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka semua kerana telah   membantu melancarkan servis dan perkhidmatan di PSB. Semoga dengan segala tunjuk ajar dan pengalaman yang diraih dapat membimbing mereka menghadapi alam pekerjaan kelak.

 

Disediakan oleh : Nurul Najaa Binti Abdul Halim, Nurameera Qistina Binti Mahathir, Atiqah Binti Marzuki, Norsyazwani Binti Ismail, Noor Shazatul Niesha Binti Muhamad Fadzri & Noor Izzati Fitri Binti Mat Azman.

 

Disunting oleh : Noraini Alias

Gambar oleh : Bahagian Koleksi Khas dan Media

Share :