BENGKEL PEMURNIAN DESKRIPSI TUGAS MANTAPKAN SKOP KERJA PUSTAKAWAN

9 Januari 2019 – Satu Bengkel Pemurnian Deskripsi Tugas telah diadakan khusus buat semua Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Bengkel ini telah diadakan di Makmal Komputer 2, Bangunan Tambahan, PSB pada jam 8.30 pagi.

Bengkel ini telah dimulai dengan sesi penerangan ringkas oleh En. Salleh Hudin Mustaffa selaku Ketua Pustakawan. Menurut beliau, tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk meningkatkan pemahaman dan tatacara penyediaan myPortfolio: Panduan Kerja Sektor Awam berdasarkan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bil. 4 Tahun 2018. Sesi ini juga memberi peluang kepada pustakawan untuk menyediakan dokumentasi ini secara terancang dan berperingkat.

Tambah beliau lagi, myPortfolio ini juga telah berkuatkuasa pada 12 Julai 2018 dan ianya menggantikan PKPA 8/1991: Panduan Mengenai Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja (FM), dan PKPA 11/1991: Panduan Mengenai Tatacara Penggunaan Borang Tindakan Kerja (BTK). Terdapat 10 komponen utama di dalam myPortfolio iaitu carta organisasi, carta fungsi, aktiviti bagi fungsi, deskripsi tugas, proses kerja, carta alir, senarai semak, senarai undang-undang, peraturan dan punca kuasa, senarai borang, dan yang terakhir adalah senarai jawatankuasa yang dianggotai. Walaubagaimanapun, fokus utama bengkel ini diadakan adalah untuk melihat dan memperkemaskan deskripsi tugas  setiap pegawai.

Deskripsi tugas merupakan dokumen yang menjelaskan tujuan pewujudan sesuatu jawatan dengan mengambil kira komponen akauntabiliti, dimensi dan kompetensi yang diperlukan bagi sesuatu jawatan dalam organisasi. Oleh yang demikian, setiap pegawai perlu berbincang bersama-sama Ketua Bahagian dalam menyenaraikan setiap tugasan utama yang dilakukan di bahagian masing-masing.

 

Bengkel berakhir pada jam 4.30 petang.

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias

348total visits,1visits today

Share :