PENGALAMAN PELAJAR PRAKTIKUM UiTM JALANI LATIHAN INDUSTRI DI PSB

Bermula Ogos sehingga Disember 2019, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), telah menerima 2 orang pelajar lelaki daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Rembau, Negeri Sembilan. Mereka adalah daripada Fakulti Pengurusan Maklumat. Berikut adalah nukilan pengalaman mereka berdua sepanjang berada di PSB:

Nukilan Pengalaman 1: Muhammad Shauqi Saad

“Sepanjang menjalani latihan industri selama kurang lebih 5 bulan di PSB, saya telah ditempatkan di Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat. Di sini, saya telah diberi tanggungjawab untuk menjalankan tugas sama seperti pustakawan yang bertugas di Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat. Antara latihan yang telah diberikan oleh Ketua Bahagian adalah:

  1. Bertugas di Kaunter Information Desk
  2. Mengendalikan Bengkel Pendidikan Pengguna
  3. Membuat pencarian maklumat untuk memenuhi keperluan pengguna
  4. Menghasilkan penerbitan berbentuk infografik untuk membantu meningkatkan kemahiran maklumat pengguna dan lain-lain lagi

Selain itu, saya juga diberi tugas oleh Ketua Pustakawan PSB sebagai Special Project yang bertajuk Media and Information Literacy ketika saya menjalani latihan industri di sini. Saya perlu menyediakan satu bahagian di dalam laman web rasmi PSB yang mengandungi Library Tutorials di dalam bentuk video. Syukur kepada Allah saya dapat menyelesaikan tugas yang diberikan. Seterusnya, saya berasa sangat gembira kerana sepanjang saya melengkapkan tugasan yang diberikan, pustakawan dan staf-staf PSB sangat banyak memberi tunjuk ajar kepada saya di samping persekitaran kerja yang positif. Akhir kata, saya berasa sangat bersyukur dan tidak menyesal kerana memilih PSB sebagai tempat latihan industri. Terlalu banyak perkara yang saya pelajari di sini baik dari segi kepustakawanan mahupun kehidupan. TERIMA KASIH PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH”

 

Nukilan Pengalaman 2: Faris Shuhaimi

“Saya Faris Shuhaimi melaporkan penulisan ini sebagai seorang pelajar latihan industri di Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, atas kehendak institusi tersebut. Di sini bermulanya kehidupan saya sebagai pelajar latihan industri dalam bidang kepustakawanan selama lima bulan iaitu dari 1 Ogos 2019 sehingga 31 Disember 2019. Pada awal tempoh latihan, saya ditempatkan sementara di Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca selama 2 minggu sebelum ditempatkan pula ke Bahagian Hadiah dan Pertukaran sepanjang latihan industri ini.  Antara aktiviti bahagian dan skop latihan yang diberikan ke atas saya ialah:

  1. Membuat bacaan rak dan menyusun bahan di Koleksi Umum
  2. Membantu dalam Projek Penyusunan Semula Bahan Koleksi Umum oleh Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca
  3. Membuat pengiraan stok (stock taking) di Koleksi Umum
  4. Menambahbaik perhiasan dan kemudahan sekitar dalaman PSB terutamanya kawasan Koleksi Umum untuk Program 5S
  5. Membantu dalam menghias landskap dalaman PSB sempena sambutan Hari Kemerdekaan
  6. Menjadi pembantu urusetia dalam Pertandingan Dekorasi Makanan Kemerdekaan PSB
  7. Membantu memasukkan maklumat (metadata) bahan yang diterima oleh Bahagian Hadiah dan Pertukaran ke dalam sistem Sierra
  8. Membangunkan pangkalan data untuk Penerimaan Bahan Hadiah dan Pertukaran
  9. Menyelaras dan mengendalikan Bengkel Pendidikan Pengguna seperti Taklimat Perpustakaan dan Bengkel Rujukan Pintar Mendeley dan lain-lain lagi

Seperti yang sedia maklum saya juga turut terlibat dengan aktiviti dari bahagian lain iaitu Bahagian Rujukan dan Perkhidmatan Maklumat walaupun tidak ditempatkan di bahagian tersebut.  Tambahan lagi, saya ditugaskan secara langsung oleh Ketua Pustakawan PSB untuk membangunkan dan mengubahsuai Vireo 4.0, iaitu sebuah sistem Penyerahan Tesis dan Disertasi Elektronik sebagai projek khas latihan industri. Pelbagai ilmu dan nasihat mengenai alam pekerjaan dan kehidupan yang berguna telah saya perolehi sepanjang latihan industri ini. Akhir kata, syukur kepadaNya kerana saya dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dan terima kasih juga kepada semua pustakawan dan staf yang telah memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada saya.”

Pihak PSB amat berterima kasih dan menghargai segala sumbangan dan idea yang telah diberikan oleh mereka sepanjang menjalani latihan industri di sini. Semoga mereka terus berjaya dalam apa jua bidang yang bakal diceburi kelak. Terima kasih Shauqi dan Faris!

 

Disediakan oleh: Muhammad Shauqi Saad & Faris Shuhaimi

Disunting oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

Share :