PSB SEDIA BERUBAH UNTUK KEKAL RELEVAN

7 – 8 Januari 2020 – Melangkah ke tahun 2020 pastinya akan terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi untuk menjamin kelestarian hidup. Begitu juga buat perpustakaan akademik seperti Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) di mana tunggak utama kewujudan PSB adalah pengguna yang terdiri di kalangan pelajar dan kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Oleh itu, satu bengkel khas telah diadakan pada 7 – 8 Januari 2020 bertempat di Auditorium 1, Bangunan Utama PSB. Bengkel bertajuk ‘Hala Tuju PSB 2020’ ini adalah hasrat pengurusan PSB dalam menstruktur semula serta menaiktaraf servis dan fasiliti yang sedia ada ke arah kecemerlangan di masa hadapan ekoran daripada tuntutan keperluan pengguna yang majoritinya adalah generasi milenial selain menjadikan PSB terus kekal relevan. Bengkel ini melibatkan semua Pustakawan, Penolong Pustakawan dan Kumpulan Pelaksana.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, satu sesi khas bersama Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan & Inovasi (P&I) dan juga TNC Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) telah diadakan bagi mendapatkan input dari sudut pandangan masing-masing terhadap perpustakaan di masa hadapan. Antara input serta saranan yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Che Ayoib Che Ahmad selaku TNC P&I adalah mengenai peranan PSB membantu meningkatkan keterlihatan (visibility) dan sitasi penerbitan UUM terutamanya yang berimpak tinggi serta menggalakkan golongan akademik untuk lebih banyak menulis melalui kolaborasi peringkat industri, nasional dan antarabangsa serta lain-lain lagi sumbangan PSB yang dapat dilihat membantu menaikkan nama UUM. Manakala TNC HEPA pula, Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali amat berharap agar dalam menyampaikan servis yang terbaik kepada pengguna terutamanya para pelajar perlu mempertimbangkan dan mengambilkira kebolehpasaran graduan (Graduate Employability). 3 tunggak utama yang diberi penekanan adalah dari sudut perkhidmatan pelajar, pembangunan pelajar dan pemerkasaan pelajar.  Turut hadir bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Menjadikan PSB sebagai pilihan utama di kalangan pelajar generasi milenial perlu diberi keutamaan. Walaupun mencabar namun ianya bukanlah mustahil untuk dilaksanakan. Bengkel ini telah berjaya mengetengahkan idea-idea baharu yang bukan sahaja mencorak haluan PSB di masa hadapan tetapi juga dapat mengeratkan lagi hubungan bersama pengguna. Kesimpulannya, untuk kekal relevan di era kepesatan teknologi ini, PSB harus bersedia untuk berubah mengikut peredaran masa ke arah memenuhi keperluan pengguna dengan menggunakan segala sumber sedia ada secara lebih efektif dan efisien.

 

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

Share :