Penyerahan Buku Dedah Dunia Persilatan

UUM ONLINE: Majlis Penyampaian Hadiah daripada Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) kepada Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Ketua Pustakawan, Aras 3 Bangunan Utama PSB, pagi tadi.

Hadiah berupa koleksi buku mengenai dunia persilatan itu disampaikan oleh Pemangku Yang Dipertua PSSCM Cawangan Kedah, Ahmad Marzuki Mohd Rasul kepada Ketua Pustakawan PSB, Salleh Hudin Mustaffa.

Menurut Ahmad Marzuki, penyerahan buku ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada warga kampus tentang seni silat cekak sejak 1965 oleh Almarhum Hanafi Ahmad yang berasal dari Kedah.

“Silat cekak ibarat pergerakan dalam solat mudah dan ringkas seperti doa, kiam, rukuk dan takbir dalam kaedah asas pertahanan diri disertakan dengan pakaian silat Melayu asli.

“PSSCM berperanan membangun modal insan serta melestarikan budaya seni silat melayu ke dalam masyarakat melayu khasnya dalam kalangan anak muda.

“Nilai-nilai murni yang diterapkan kepada para pesilat telah menjadikan pengamal seni silat suatu kumpulan pemimpin yang bertanggungjawab, cekap serta mencegah unsur khurafat,” ujarnya.

Sementara itu, wakil PSSCM UUM, Nur Izzati Ilyas berkata, silat cekak dapat dipelajari oleh anak bangsa sehinggalah berkembang ke seluruh tanah air termasuk di Pusat Pengajian Tinggi.

Ujar siswi Sains Pemutusan, PSSCMUUM turut membuka peluang kepada mahasiswa UUM untuk menyertai PSSCMUUM dan latihan yang diadakan pada setiap malam Isnin dan Sabtu.

Oleh: Siti Fatimah Abdullah
Gambar oleh: Abdul Halim Husain
Unit Komunikasi Korporat UUM

26total visits,1visits today