WARGA PSB TAWAN BUKIT BUNGA RAYA DAN BERBASIKAL SEKITAR UUM

Badan Kebajikan dan Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), telah menganjurkan dua aktiviti iaitu mendaki Bukit Bunga Raya dan aktiviti kayuhan basikal elektrik. Aktiviti ini telah diadakan pada 26 Julai 2018 yang lalu dan telah berjaya menarik minat  peserta di kalangan warga PSB. Seawal jam 8.30 pagi, peserta yang memilih untuk mendaki Bukit Bunga Raya  telah berada di tempat berkumpul iaitu di Anjung Tamu, manakala peserta kayuhan basikal elektrik pula berkumpul di Jabatan Hal Ehwal dan Pelajar (HEP).

Bagi peserta mendaki Bukit Bunga Raya, perjalanan bermula dari Anjung Tamu melalui jalan raya sehingga ke kaki bukit yang bertentangan dengan Hotel EDC UUM. Daripada sini, pendakian bermula lebih kurang jam 9.00 pagi. Walaupun laluannya adalah tidak terlalu ekstrim dan sesuai untuk semua lapisan umur, namun jelas terpancar riak keletihan di wajah sebilangan peserta terutamanya di kalangan yang berumur 40-an dan ke atas yang merupakan sebahagian besar daripada bilangan peserta yang menyertai aktiviti ini. Walaubagaimanapun, apa yang lebih  penting adalah kegembiraan yang dipamerkan apabila berjaya menawan puncak Bukit Bunga Raya dalam masa 30 minit sahaja. Berada di puncak selama hampir 1 jam, kesemua peserta kelihatan amat teruja dan selain berehat menghilangkan lelah, mereka turut mengambil peluang dengan menikmati pemandangan yang sangat cantik di kawasan sekitar  UUM melalui puncak bukit. Selain itu, mereka turut mengabadikan kenangan dengan mengambil foto di samping mengibarkan bendera UUM dan tanda nama PSB simbolik kejayaan mendaki Bukit Bunga Raya ini. Misi tersebut berakhir dengan kesemua peserta berjalan turun ke arah Anjung Tamu, UUM semula.

Pada masa yang sama juga, aktiviti kayuhan basikal elektrik turut diadakan. Mereka berbasikal sekitar UUM dengan diketuai oleh En Mohd Amerul Shafiz Hasbullah. Aktiviti ini turut diadakan adalah kerana untuk memberi peluang kepada rakan-rakan yang tidak berminat menyertai aktiviti mendaki dan masih boleh beriadah. Aktiviti sebegini sememangnya kerap diadakan bagi menggayakan kehidupan yang sihat dan ianya juga merupakan saranan pihak pengurusan yang menginginkan warganya untuk kekal sihat dan cergas.

Sepanjang aktiviti  dijalankan, kesemua peserta sentiasa bekerjasama dengan saling ingat-mengingati rakan-rakan dan bergerak secara berkumpulan kerana aktiviti ini adalah bertujuan untuk memupuk jalinan kasih sayang dan harmoni sesama peserta. Kedua-dua aktiviti ini  telah berakhir dengan lancar pada jam 11.00 pagi.

Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim

Gambar oleh: Mohd Fuzi Bin Ismail

116total visits,3visits today