PERTANDINGAN KIK PERINGKAT UNIVERSITI AWAM KALI KE-12 BERI PENGALAMAN BERMAKNA KEPADA KUMPULAN G-HARD

Pada 3 dan 4 ogos 2016 yang lalu telah berlangsungnya Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam Kali Ke-12 bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diwakili oleh 2 buah kumpulan iaitu Kumpulan G-HARD daripada Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan Kumpulan Aura daripada Institut Pengurusan Kualiti (IPQ).

Pasukan UUM bertolak ke Terengganu pada 1 Ogos 2016, jam 8 pagi dengan menaiki bas dan tiba di TH Hotel Terengganu pada jam 6 petang. Walaupun, terpaksa menghadapi perjalanan yang agak memenatkan selama hampir 10 jam, namun ianya tidak mematahkan semangat semua peserta untuk beraksi pada pertandingan tersebut. Bagi ahli kumpulan G-HARD, kami semua telah memberikan yang terbaik sepanjang penglibatan ahli dalam kumpulan dan juga sepanjang tempoh penyediaan projek. Malah kami juga telah menyaksikan banyak perkara positif terutamanya dalam perhubungan dan keakraban sesama ahli kumpulan di samping ilmu pengetahuan yang diperolehi.

Kemeriahan pertandingan bermula dengan sesi pendaftaran pada 2 Ogos 2016, dan diikuti dengan sesi raptai dan sedikit taklimat ringkas daripada pihak penganjur. Kumpulan G-HARD telah berjaya mempersembahkan projek mereka pada hari kedua pertandingan iaitu pada 4 Ogos 2016. Walaupun gagal mendapat tempat di antara 3 yang terbaik, namun kumpulan telah berjaya mendapat pengiktirafan emas daripada juri menerusi projek yang bertajuk “Kelewatan Mengaktifkan ID Pelajar Baharu Di Perpustakaan Sultanah Bahiyah”.

Walaubagaimanapun, kekecewaan tersebut sedikit terubat apabila satu lagi wakil UUM, iaitu kumpulan Aura telah berjaya merangkul tempat ketiga pertandingan. Kejayaan dan kegembiraan mereka ini turut dikongsi bersama semua warga UUM.

Pasukan UUM bertolak pulang pada 5 Ogos 2016 pada jam 8 pagi dan selamat tiba di UUM, Sintok pada jam 5 petang. Segala pengalaman dan ilmu yang diperolehi sepanjang penglibatan dalam KIK ini amat dihargai walau terdapat pelbagai kekangan dan halangan namun ianya mampu ditempuhi bersama-sama dan diharap pada kumpulan yang akan datang mampu melahirkan kejayaan bagi mewakili jabatan serta universiti.

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Noraziman Mohamad

37total visits,2visits today