CORETAN PENGALAMAN 7 ORANG PELAJAR YANG MENJALANI LATIHAN PRAKTIKAL DI PSB

Bagi memenuhi syarat untuk menamatkan program dalam Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan, setiap pelajar diwajibkan untuk menjalani latihan praktikal selama 5 bulan di institusi-institusi yang berkenaan. Namun, bagi 6 orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan seorang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia(USIM), mereka berasa amat bertuah kerana telah diterima untuk menjalani latihan praktikal di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia bagi menimba ilmu dan pengetahuan sebagai langkah persediaan menghadapi alam pekerjaan kelak. Di sini, mereka telah ditempatkan di bahagian yang berasingan oleh pihak pengurusan. Sedikit coretan pengalaman mereka sepanjang tempoh latihan berlangsung adalah seperti di bawah:

Coretan 1

Oleh: Cik Nurul Natia Binti Mohamad Suhaimi (UiTM, Kedah)

Di bawah Jabatan Sumber Ilmu, saya telah ditempatkan di Bahagian Perolehan. Di bahagian ini saya telah mempelajari teknik dalam menguruskan silibus kursus yang diperolehi daripada pelbagai pusat pengajian di UUM. Saya juga berperanan untuk memastikan bahawa senarai kursus bahan sukatan pelajaran dan bibliografi yang diterima adalah lengkap dan juga perlu membuat pemeriksaan teliti terhadap perkara-perkara seperti nama pengarang, tajuk dan ISBN melalui carian di WebOPAC bagi mengelak duplikasi bahan di dalam koleksi perpustakaan. Selain itu, saya juga perlu mengesan maklumat bibliografi yang lengkap sebelum merekodkannya ke dalam sistem. Di samping itu, saya turut ditugaskan untuk menganalisis pengurusan bahan silibus untuk tujuan proses pembelajaran dan pengajaran dan juga perlu menyediakan kertas kerja untuk penambahbaikan sistem dan kerja yang sedia ada berdasarkan idea-idea sendiri.

Coretan 2:

Oleh: Encik Mohd Fahmi Bin Jamil (UiTM, Puncak Perdana)

Sepanjang menjalani latihan praktikal di PSB, saya telah ditempatkan di Unit Muzium. Di sini, saya telah ditugaskan untuk menyediakan rekod muzium digital dengan menggunakan perisian OMEKA. Penggunaan perisian ini adalah untuk menyediakan rekod muzium dalam bentuk digital untuk dipamerkan secara atas talian. Oleh yang demikian, pelawat pada masa hadapan akan dapat melihat bahan muzium yang dipamerkan oleh Muzium ini melalui atas talian sahaja. Selain itu, saya juga berasa bangga kerana telah berjaya membantu Unit Muzium dengan menyediakan satu sistem pengurusan rekod yang menggunakan perisian Microsoft Visual Basic 6.0. Dengan menggunakan perisian ini, maka kakitangan muzium dapat merekodkan bahan muzium dengan lebih teratur dan lebih mudah untuk mengawal pergerakan bahan artifak muzium kelak.

Coretan 3

Oleh: Cik Nurul Ain Rasyidah (UiTM, Kedah)

Ditempatkan di Bahagian Pemerosesan Teknik, saya telah diberi tugasan untuk melakukan proses “data cleaning” bagi bahan bersiri dan bahan monograf. Proses “data cleaning” ini adalah proses untuk menukarkan data bibliografi bahan perpustakaan daripada standard MALMARC kepada standard MARC 21. Proses ini perlu dilakukan kerana terdapat perbezaan “tagging” pada MALMARC dengan MARC 21 yang menyebabkan proses “data cleaning” perlu dilakukan. Untuk permulaan, saya telah diberi senarai “data cleaning” untuk bahan monograf bagi memahirkan diri dengan proses tersebut. Selepas beberapa minggu, saya telah diberikan senarai “data cleaning” bagi bahan bersiri pula. Proses ini dapat memberi pendedahan kepada saya tentang perbezaaan proses “data cleaning” bagi kedua-dua bahan tersebut. Selain itu, saya juga mendapat lebih banyak pengetahuan tentang perbezaan MALMARC dan MARC 21, “tagging” dan banyak lagi.

Coretan 4

Oleh: Cik Afifatussahira Binti Hasri (UiTM, Kedah)

Saya telah ditempatkan di Bahagian Penyelidikan dan Komunikasi Korporat bersama-sama rakan saya iaitu Cik Noor Rashidah, namun kami mempunyai peranan masing-masing sepanjang penempatan di sini. Saya bertanggungjawab untuk mengemaskini data – data pensyarah UUM yang telah menerbitkan jurnal dan artikel yang diindeks di dalam Scopus, Web of Science (WoS) dan ERA. Sehubungan itu, proses memasukkan data perlu dilakukan dengan teliti selain itu ianya menuntut kemahiran dalam mengakses pangkalan data Scopus. Saya telah difahamkan bahawa tujuan utama penerbitan artikel berindeks adalah untuk memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia bagi mengiktiraf sesebuah universiti itu sebagai universiti berpenyelidikan dengan mengambilkira jumlah penerbitan artikel universiti tersebut. Selain itu, saya juga gembira kerana dapat berkomunikasi secara terus bersama pustakawan dan staf-staf lain dan ianya memberi pengalaman yang cukup bermakna denganberadadi persekitaran bekerja yang positif. Saya juga turut berpeluang merasai pengalaman menyambut pelawat di PSB secara formal dan berkomunikasi dengan cara yang betul dengan para pelawat yang hadir.

Coretan 5

Oleh: Cik Noor Rashidah (UiTM, Kedah)

Di Bahagian Penyelidikan dan Komunikasi Korporat, saya telah mendapat tugasan untuk merekodkan data atau maklumat bahan penerbitan seperti judul bahan, namapengarang, tahun penerbitan dan sebagainya ke dalam sistem DSpace. Dspace adalah salah satu repositori terbuka yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja tanpa memerlukan kata laluan. Sepanjang tugasan ini, saya perlu memasukkan maklumat bahan penerbitan mengikut pusat pengajian bagi setiap senarai pensyarah. Secara umumnya, DSpace digunakan untuk tujuan akademik dan ianya berfungsi sebagai salah satu tempat penyimpanan hasil penerbitan sesebuah institusi dalam bentuk elektronik. Selain itu, sekiranya ada keperluan, saya juga akan terlibat dengan aktiviti menyambut pelawat luar bersama-sama pegawai yang bertugas. Daripada sesi itu, saya dapat mengetahui tatacara dan kaedah komunikasi yang betul apabila berurusan dengan pihak luar.

 Coretan 6

Oleh: Cik Siti Wadhihah Binti Mohd Nazridari (UiTM, Kedah)

Saya telah mendapat pengalaman yang baru sepanjang penempatan saya Bahagian Elektronik dan Perkhidmatan Maya. Di sini, saya telah ditugaskan untuk menyediakan repositori bahan penyelidikan. Saya juga telah diarahkan untuk mendapatkan bahan laporan penyelidikan pelajar UUM yang telah dibukukan daripada Bahagian Koleksi Khas dan Media dan seterusnya saya perlu membawa laporan penyelidikan ini ke Bahagian Arkib untuk diimbas menggunakan mesin pengimbas yang disediakansambil dibantu oleh seorang staf untuk menggunakan mesin e-Scan. Setelah selesai, dokumen tersebut perlu melalui proses penyuntingan menggunakan aplikasi LIMB yang mengambil masa lebih kurang sejam. Seterusnya, sayaturut diberi pendedahan melakukan kerja-kerja pendigitalan yang melibatkanproses penamaan fail imej digital, memasukkan Tera Air (Watermark), Optical Character Recognition (OCR) dan membuat Bookmark pada bahan laporan penyelidikan yangtelah didigitalkan. Selain itu, saya juga berperanan untuk membuat suntingan penamaan fail bagi Kertas Soalan Peperiksaan dan PLK selain menukar serta menyemak jabatan atau pusat pengajian bagi setiap bahan repositori mengikut fakulti dan tahun serta memadam huruf ‘i’ pada barkod katalog dalam sistem Sierra bagi tujuan penyelarasan.

Coretan 7

Oleh: Encik Mohd Khairuddin Bin Khalid (USIM)

Ditugaskan di Bahagian Sirkulasi dan Perkhidmatan Pembaca, saya telah diberi tugasan untuk membuat sedikit penambahbaikan di Perpustakaan Pusat Islam dengan mengkaji punca masalah bilangan pengunjung yang semakin berkurangan. Oleh yang demikian, saya perlu membuat sedikit kajian berhubung perkara tersebut bagi membantu bahagian. Kajian bermula dengan menganalisa setiap aspek seperti kekurangan koleksi di perpustakaan tersebut. Untuk tujuan itu, saya turut menyediakan sebanyak 150 borang kaji selidik yang telah diedarkan kepada pelajar, pensyarah, dan kakitangan UUM untuk mengenalpasti samada mereka mengetahui keberadaan perpustakaan tersebut atau tidak, pernah menggunakannya atau tidak, dan mendapatkan cadangan daripada mereka untuk penambahbaikan perpustakaan tersebut. Saya juga turut menemubual beberapa ketua bahagian di Perpustakaan Sultanah Bahiyah untuk meminta pendapat dan cadangan mereka serta dibantu oleh carian di internet untuk tujuan penambahan idea dalam mencari kaedah yang terbaik dalampenambahbaikan di Perpustakaan Pusat Islam. Selain daripada projek khusus yang telah diberikan, saya juga berperanan untuk bertugas dan menguruskan kaunter di bawah seliaan bahagian ini di samping ianya dapat menambah pengetahuan apabila berurusan dengan pengguna.

Begitulah serba sedikit coretan pengalaman daripada 7 orang pelajar praktikal yang telah berjaya menamatkan latihan praktikal mereka di PSB. Akhir kata daripada mereka semua, mereka berasa cukup bertuah kerana dapat menjalani latihan praktikal dengan jayanya di PSB serta dapat menimba banyak ilmu pengetahuan dan berkongsi pengalaman dengan kakitangan PSB. Mereka juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan PSB kerana telah memberi kerjasama yang amat baik kepada mereka semua sepanjang tempoh praktikal serta pengalaman yang diperolehi akan mereka praktikkan kelak apabila melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar. Oleh yang demikian, mereka turut meluahkan bahawa PSB sangat sesuai untuk dijadikan tempat latihan praktikal bagi para pelajar semester akhir dan bukan sahaja dapat memenuhi kepuasan dari segi perkhidmatannya malah dari suasana dan keadaan sekeliling yang menyenangkan jiwa iaitu berkonsepkan gedung ilmu di alam kehijauan. Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada mereka semua atas sumbangan dan jasa mereka kepada seluruh warga PSB, dan semoga berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi kelak.

Disediakan oleh: Afifatussahira Hasri, Mohd Fahmi Jamil, Mohd Khairuddin Khalid, Noor Rashidah Basiron, Nurul Ain Rasyidah Mohd Nadzri, Nurul Natia Mohd Suhaimi, Siti Wadhihah Mohd Nazridari

Disusun oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

84total visits,3visits today