PROGRAM JOM SIHAT CERGAS STAF PSB

Satu program anjuran Unit Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah khusus untuk seluruh warga Perpustakaan telah berlangsung pada 18 Februari 2016 dengan meriah dan jayanya.

Program Jom Sihat Cergas Staf PSB ini dimulakan dengan senaman Tai Chi pada jam 8.30 pagi. Seramai 6 orang guru senaman yang telah dibawa khas daripada Persatuan Tai Chi Changlun untuk mengendalikan senaman ini. Antara keistimewaan senaman Tai Chi ini adalah ia dapat memberi kebaikan kepada pesakit jantung, memperbaiki mood atau emosi harian individu, mengurangkan kemurungan, mengurangkan keletihan dan menjadikan badan lebih segar, di samping menyihatkan badan secara menyeluruh.

Sekitar jam 10.30 pagi, program diteruskan pula dengan sesi Ceramah Kepentingan Pemeriksaaan Kesihatan oleh Dr. Adi Azhar Abdul Razak daripada Pusat Kesihatan UUM. Beliau banyak memberi penekanan terhadap kepentingan membuat pemeriksaan kesihatan, menjaga cara pemakanan dan juga keperluan bersenam bagi mengekalkan kecergasan diri serta menghindari penyakit.

Selepas itu, program diteruskan lagi dengan taklimat rawatan bekam dan juga demonstrasi rawatan. Antara kebaikan dan kegunaan bekam adalah untuk membuang angin dalam badan, menghilang kesakitan dan lenguh-lenguh badan, melancarkan peredaran darah serta membuang racun dan toksin di dalam badan kita. Selain itu, bekam ini bukan sahaja baik untuk kesihatan malah ia adalah merupakan sunnah Rasulullah S.A.W. Rawatan bekam telah dilakukan oleh Puan Fauziah dan Puan Noriah daripada Taman Sayang, Changlun.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk membina hubungan dengan masyarakat setempat (community engagement) di sekitar UUM. Selain daripada dapat mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja, warga Perpustakaan juga dapat berkenalan dan beramah mesra dengan komuniti luar. Diharap program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang dengan lebih ramai penyertaan.

Disediakan oleh: Noraini Alias | Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

62total visits,2visits today