PROGRAM MEMPERKASAKAN JATI DIRI PERPUSTAKAAN SULTANAH BAHIYAH (PSB) 2016 PAMER KESEPAKATAN WARGA PSB

Pada 24 – 26 Ogos 2016 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah mengadakan Program Memperkasakan Jati Diri PSB 2016 bertempat di Redang Mutiara Beach Resort, Pulau Redang dan di Pulau Bidong iaitu salah sebuah Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu dengan kerjasama UMT Jaya Holding. Seramai 74 orang staf PSB telah menyertai program tersebut dengan jayanya.

Memandangkan jarak perjalanan yang agak jauh daripada Sintok ke Terengganu iaitu hampir 10 jam perjalanan dengan menaiki 2 buah bas UUM, rombongan tersebut telah bertolak pada 23 Ogos 2016 (Selasa) pada jam 5.30 petang. Kemudian, rombongan selamat sampai di Merang, Terengganu pada jam 6.00 pagi keesokan harinya dengan berhenti sebentar di sebuah masjid tempatan untuk tujuan menunaikan solat subuh dan sarapan pagi sebelum bergerak menaiki feri di jeti Merang terus ke Redang Mutiara Beach Resort sekitar jam 10.00 pagi.

Kesemua peserta telah selamat tiba di Redang Mutiara Beach Resort iaitu tempat penginapan kesemua peserta sepanjang program berlangsung selama 3 hari 2 malam. Setelah selesai urusan pendaftaran bilik, makan tengahari, sesi perkenalan bersama fasilitator UMT Jaya Holding yang diketuai oleh Cikgu Sabri, pembahagian kumpulan dan solat, kesemua peserta program telah memulakan aktiviti pertama iaitu   “Water Confident”. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan semua peserta apabila berada di dalam air dengan memakai “Buoyancy Aid” atau BA. Setiap peserta diarahkan untuk membuat terjunan di jeti dan cuba untuk mengapungkan diri serta berenang ke daratan dengan dipantau oleh beberapa orang fasilitator. Setelah selesai aktiviti tersebut, kesemua peserta beralih ke aktiviti kedua iaitu pertandingan membuat rakit. Dalam aktiviti ini, peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan besar dan setelah rakit selesai dibina peserta perlu menaikinya dan membuat pusingan di dalam air sebanyak 3 kali mengikut jarak yang telah ditentukan. Aktiviti ini banyak menuntut kerjasama dan bekerja secara berkumpulan tidak kira tua atau muda. Setelah itu, aktiviti Tele-Match Games telah diadakan dan berakhir pada jam 6.30 petang. Di sebelah malam pula, sesi “ice-breaking” telah diadakan dengan pelbagai aktiviti menarik yang menguji minda serta menuntut kerjasama sesama ahli kumpulan.

Pada keesokan harinya iaitu pada 26 Ogos 2016 (Khamis) bermula jam 8.30 pagi , program ini dimulakan dengan bertolak ke Pulau Bidong dengan menaiki bot selama 15 minit. Peserta program ini amat bertuah dapat menjejakkan kaki ke Pulau Bidong ini kerana ianya tidak terbuka kepada orang awam kerana ianya adalah dibawah seliaan pihak UMT sebagai salah sebuah Pusat Penyelidikan mereka kerana sejarah serta khazanah yang ada di sini perlu dipelihara dan dijaga untuk tujuan penyelidikan dan rujukan masa hadapan. Sepanjang berada di pulau ini, peserta telah diberi taklimat ringkas dan dibawa menjejaki tapak peninggalan penempatan pelarian Vietnam atau dikenali sebagai “Orang Hanyut” yang menetap di pulau tersebut selama lebih kurang 10 tahun. Ianya bermula apabila berlakunya kejatuhan kerajaan demokratik Vietnam yang disokong oleh kerajaan Amerika Syarikat ke tangan komunis Vietnam Utara pada tahun 1975 yang menyebabkan kehidupan rakyat menjadi kucar-kacir sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa sehingga memaksa mereka mencari perlindungan ke negara luar. Pada Ogos 1978, melalui pewartaan PU(A) 227, kerajaan negeri Terengganu bersetuju mengishtiharkan Pulau Bidong sebagai pusat penempatan pelarian Vietnam. Setelah dibawa menjejaki penempatan tersebut, peserta program telah dibawa ke tempat “snorkeling” bagi menghayati keindahan batu karang dan hidupan laut di sekitar pantai Pulau Bidong. Sebelum itu semua peserta telah diberi peringatan supaya berhati-hati semasa aktiviti ini dan dilarang memijak batu karang kerana ianya boleh mendatangkan kecederaan serta untuk menjaganya. Pada sebelah petang pula, bermula jam 2.00 petang aktiviti diteruskan dengan slot melawat ke Taman Laut untuk aktiviti snorkeling juga dan memberi makan ikan selama hampir 2 jam. Kesemua peserta program ini kelihatan teruja dengan kecantikan batu karang di Taman Laut ini di samping terdapat pelbagai ikan-ikan cantik yang berebut-rebut mendapatkan makanan apabila diberi roti. Setelah itu, peserta dibawa semula ke tempat penginapan untuk aktiviti seterusnya iaitu Treasure Hunt, Abseiling dan Tele-Match Games.

Pada 26 Ogos 2016 iaitu hari terakhir program tersebut, sedikit majlis ringkas telah diadakan sempena penutupan program ini dan sesi penyerahan sijil penghargaan juga telah disampaikan oleh Ketua Pustakawan iaitu Encik Salleh Hudin Mustafa. Pada jam 9.30 pagi, rombongan telah bertolak pulang dari jeti Redang Mutiara Beach Resort ke jeti Merang dan bertolak ke Pasar Payang di Kuala Terengganu untuk membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang ke Sintok. Setelah itu, rombongan ini telah bertolak pulang ke Sintok selepas maghrib dan selamat tiba pada jam 5.00 pagi.

Menyingkap sepanjang penyertaan dalam program ini, rata-rata semua peserta berasa gembira dan seronok menjalani setiap aktiviti dalam Program Memperkasakan Jati Diri Staf PSB 2016 ini. Mereka juga merasa terkesan dengan keindahan alam semulajadi di Pulau Redang di samping merasa lebih rapat dan lebih saling mengenali sesama sendiri hasil daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersama rakan-rakan. Terima kasih diucapkan kepada En. Abu Hassan Ghazali yang merupakan tulang belakang dalam menjayakan program ini serta barisan AJK yang terlibat. Diharap pada masa akan datang, dapat dianjurkan lagi program seumpama ini dengan memberi banyak pengalaman baru kepada semua warga PSB.

Disediakan oleh: Norashikin Bt Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail dan Md Affrizi Ismail

48total visits,2visits today