PSB TERIMA KUNJUNGAN UNIT AUDIT DALAM, JABATAN CANSELORI UUM

Pada hari Rabu, 17 Ogos 2016 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima satu lawatan audit daripada Unit Audit Dalam, Jabatan Canselori, Universiti Utara Malaysia (UUM). Lawatan tersebut diketuai oleh Puan Rokiah Saad, Ketua Unit Audit Dalam UUM bersama 6 orang juruaudit yang lain. Kehadiran Juruaudit telah disambut oleh Ketua Pustakawan PSB iaitu Encik Salleh Hudin Mustaffa bersama beberapa orang pegawai kanan serta kakitangan pelaksana  PSB.

Audit dimulai dengan sesi pembukaan pada jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Mesyurat Ketua Pustakawan, Bangunan Utama. Tujuan pengauditan adalah untuk menentukan wujudnya kawalan dalaman dan pematuhan kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan mengenai perolehan bahan bacaan di Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Selain daripada membuat pengauditan perolehan bahan bacaan, pasukan juruaudit juga turut membuat pemeriksaan mengejut terhadap laporan pengauditan Pengurusan Kewangan PTJ 2015 berdasarkan tujuh (7) elemen penilaian iaitu kawalan pengurusan, kawalan bajet, kawalan terimaan, kawalan perolehan, kawalan perbelanjaan, kawalan akaun amanah dan deposit serta pengurusan aset dan stor.

Sepanjang sesi audit berlangsung, juruaudit telah memeriksa, mengira, menganalisis rekod, dokumen, fail serta menyemak secara fizikal bahan yang berkaitan di pejabat. Semua pihak yang terlibat telah memberikan kerjasama yang baik semasa proses audit dijalankan.

Disediakan oleh: Isanuddin Bidin

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

29total visits,2visits today