PSB ANJUR MAJLIS PERPISAHAN STAF BERSARA DAN SAMBUTAN AIDILFITRI

19 Jun 2019 – Sesungguhnya setiap pertemuan pasti adanya perpisahan. Begitu juga realiti di Universiti Utara Malaysia (UUM), semua penjawat awam pasti akan bersara secara wajib ataupun pilihan. Oleh itu, satu Majlis Perpisahan buat staf bersara telah diadakan bersama-sama Majlis Sambutan Aidilfitri Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Majlis Perpisahan ringkas ini telah bermula pada jam 12.00 tengahari bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan Perpustakaan Sultanah bahiyah (PSB). Majlis ini adalah bertujuan untuk  meraikan staf yang bakal bersara iaitu saudara Mohamad Asseri Abd Rahim dan saudara Zamry Mat Zain. Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka berdua yang pastinya tidak dapat dibalas, pihak PSB turut memberi sedikit cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan di atas segala jasa-jasa dan sumbangan mereka selama berkhidmat bersama PSB. Hadiah ini telah disampaikan oleh En. Razak Siamin selaku Timbalan Ketua Pustakawan setelah sesi tayangan video kenangan diadakan. Mohamad Asseri yang hadir sewaktu majlis mewakili rakannya Zamry mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua  pihak pengurusan yang telah memberi tunjuk ajar selama mereka bertugas di PSB. Tambah beliau, segala kenangan pahit dan manis tentunya akan dikenang sepanjang hayat beliau. Pihak perpustakaan juga mengucapkan terima kasih atas segala jasa, sumbangan, dan pandangan mereka selama bertugas. Semoga mereka akan terus berjaya dalam apa jua perkara yang dilakukan di masa hadapan.

Usai Majlis Perpisahan berakhir, kesemua warga PSB telah dijemput untuk menikmati hidangan hari raya yang telah disediakan di Foyer Auditorium 2. Pelbagai juadah telah sedia menanti untuk dijamah antaranya adalah ketupat, rendang ayam, nasi berlauk campur, kuih-muih, bihun sup, jus detoks dan pelbagai lagi. Kemeriahan majlis juga semakin terasa dengan kedengaran lagu raya yang berkumandangan di segenap ruang sambil warga PSB dilihat begitu gembira sekali memperagakan baju raya masing-masing sambil mengabadikannya ke dalam foto bersama rakan-rakan seperjuangan. Majlis Sambutan Aidilfitri ini adalah bertujuan untuk meraikan syawal di samping mengeratkan hubungan silaturrahim sesama warga PSB. Buat semua warga PSB, semoga hubungan ukhwah menerusi majlis yang sebegini dapat berkekalan sepanjang zaman hendaknya.

Majlis ini tamat sekitar jam 2.00 petang.

 

Disediakan oleh: Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

84total visits,2visits today

Share :