PSB ANJUR TAKLIMAT KESELAMATAN DAN PENCEGAHAN KEBAKARAN

Menyedari Perpustakaan adalah tempat kunjungan utama warga Universiti Utara Malaysia (UUM), satu  Taklimat Keselamatan dan  Pencegahan Kebakaran telah berjaya dianjurkan oleh Bahagian Pentadbiran,  Jabatan Khidmat Pengurusan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), pada 20 Disember 2018 yang lalu dan bertempat di  Auditorium 1, Bangunan Utama PSB.

Sesi taklimat ini  telah disampaikan oleh Tuan Mazlan Ismail, Pakar Emergency Response Team (ERT)  dari Jabatan  Keselamatan, Universiti Utara Malaysia (UUM). Objektif taklimat ini adalah untuk berkongsi serta mengingatkan mengenai kefahaman dan kesedaran tentang garispanduan bagaimana mencegah, menangani, dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran di tempat kerja.

Tuan Mazlan dalam taklimatnya turut mengingatkan bahawa PSB adalah bangunan premis yang ditetapkan di mana Sijil Akuan Bomba hendaklah diperbaharui setiap tahun. Oleh itu beliau juga menekankan bahawa PSB perlu memastikan sistem amaran kebakaran adalah aktif, berfungsi dan berada di dalam keadaan baik di samping menekankan perlunya semua staf PSB memahami pelan tatacara pengungsian bangunan. Satu  panduan paling berharga dari Tuan Mazlan kepada semua yang hadir sekiranya berlaku  sebarang kecemasan samada di pejabat, di rumah atau ketika  memandu ialah “JANGAN PANIK”. Bersikap tenang akan membantu kita mengatasi masalah dan menyelamatkan diri dan harta benda kita.

Semoga taklimat ini menambah kesedaran kepada semua staf PSB akan peri pentingnya peranan masing– masing apabila berlakunya kebakaran di tempat kerja. Taklimat ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Ketua Pustakawan PSB, Tuan Haji Salleh Hudin Mustaffa kepada penceramah jemputan.

 

Disediakan oleh : Azniza  Bt. Ahmad

Gambar : Siti Nor Hajar Abd. Rahman

Share :