PSB BINA KERANGKA PERANCANGAN STRATEGIK DALAM MENUJU PERPUSTAKAAN DIGITAL

PSB Online – Dua siri bengkel Pra-Perancangan Strategik Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan pada 20 dan 22 Julai 2020 yang lalu. Bengkel ini telah diadakan di Ruang Latihan, Paras 3, Bangunan Utama PSB.

Menentukan hala tuju PSB dalam mendokong hasrat universiti adalah sesuatu yang amat penting sekali untuk mengorak langkah ke arah kejayaan memenuhi keperluan dan kepuasan pengguna masa hadapan. Oleh yang demikian, Prof. Madya Dr. Ts. Muhammad Shahbani Abu Bakar iaitu Pengarah Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput khas untuk berkongsi mengenai hasrat UUM agar selari dengan perancangan PSB yang bakal diputuskan sewaktu bengkel berlangsung.

Menurut beliau, antara fokus utama universiti adalah untuk mewujudkan “UUM Digital Learning Ecosystem” yang bakal memperlihatkan penggunaan teknologi secara menyeluruh di seluruh kampus dalam mendokong proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Untuk merealisasikan hasrat tersebut, PSB juga turut memainkan peranan penting sebagai perpustakaan digital di mana semua keperluan sumber-sumber rujukan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dapat disediakan dengan lebih pelbagai dan mudah dicapai.

Perkongsian tersebut sememangnya amat berfaedah sekali untuk kelangsungan bengkel tersebut. Ini kerana fokus bengkel dapat diteruskan ke arah penentuan langkah seterusnya iaitu menetapkan semula visi, misi dan objektif PSB untuk tahun 2020 ini agar terus kekal relevan di masa hadapan. Setelah itu, kesemua 30 peserta bengkel yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua Unit telah diminta untuk membentangkan fungsi dan objektif bahagian beserta objektif unit masing-masing.

Setelah itu, bengkel diteruskan dengan penetapan Key Performance Indicator (KPI), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dan juga SWOT Analysis. Antara KPI PSB yang perlu dititikberatkan adalah mengenai kepuasan pengguna dan PSB harus mengorak langkah ke arah penawaran servis dan perkhidmatan yang lebih berkualiti tinggi, pelbagai, cekap dan terkini untuk memberi kepuasan maksimum kepada pengguna kelak.

Bengkel ini telah dipimpin oleh En. Razak Siamin selaku Timbalan Ketua Pustakawan serta dibantu oleh Penolong-Penolong Ketua Pustakawan yang lain. Walaupun Ketua Pustakawan tidak dapat bersama sehingga ke akhir bengkel kerana tuntutan kerja luar, namun En. Salleh Hudin Mustaffa sempat memberi sedikit taklimat mengenai hala tuju PSB kepada semua peserta di awal bengkel bermula.

Semoga segala input-input di dalam Bengkel Pra-Perancangan Strategik PSB yang telah berlangsung selama 2 hari ini mampu diterjemahkan ke arah  penawaran  servis dan perkhidmatan yang lebih cekap ke arah menjadikan PSB sebuah perpustakaan digital terulung.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias

Share :