PSB TURUT SERTA MERIAHKAN MALAYSIA #QURANHOUR 2018

30 Ogos 2018 –  Program Malaysia #QuranHour 2018 atau yang dahulunya dikenali sebagai #MalaysiaNgaji buat kali ketiga telah dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia pada tahun ini dengan konsep membaca Al-Quran, mendalami maksud, bertadabbur dan berkultum.

Program yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) bersama-sama Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia serta Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) merupakan inisiatif bagi membentuk masyarakat ke arah minat membaca Al-Quran seiring dengan objektif utamanya iaitu untuk membentuk perilaku ummah agar amalan membaca Al-Quran diterapkan dan membentuk akhlak yang mulia serta modal insan dalam diri setiap individu.

Di samping itu, program ini merupakan satu sokongan daripada Perpustakaan Awam Negeri-negeri dan kerajaan bagi meningkatkan tabiat membaca dan mendekatkan diri dengan Al-Quran dalam kalangan masyarakat Muslim. Program yang berlangsung secara serentak selama satu jam ini boleh dilakukan sama ada secara bersendirian, berdua ataupun beramai-ramai.

Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) juga tidak melepaskan peluang ini dengan turut mengadakan bacaan bermula jam 11.00 pagi bertempat di Sudut Kanak-kanak, Bangunan Utama PSB. Program ini telah mendapat sambutan yang agak menggalakkan malah telah disertai oleh seramai 26 orang kakitangan PSB. Pada majlis tersebut, bacaan telah diadakan secara beramai-ramai di mana kesemua peserta berkumpul lalu membacakan surah yang berasingan sehingga habis ke Juzuk yang ke 30.

Menurut salah seorang peserta yang juga merupakan pelajar praktikum di PSB, Nor Izzati Fitri Binti Mat Azman, ini adalah pertama kali beliau menyertai program Malaysia #QuranHour dan katanya “program keagamaan seperti ini sangat memuaskan dan wajar sekiranya dilaksanakan secara tetap mahupun berkala dan berharap supaya mendapat sambutan yang lebih ramai”.

Lantaran itu, Program Malaysia #QuranHour 2018 yang diadakan ini diharap dapat memberikan impak kepada seluruh muslimin dan muslimat dalam menanamkan budaya membaca Al-Quran dengan menjadikannya sebagai asas kepada panduan hidup malahan membentuk kerangka fikiran dengan terbentuknya mindset Al-Quran.

Dalam konteks perpustakaan, program Malaysia #QuranHour 2018 mampu memberikan manfaat dalam membina kekuatan kerohanian di kalangan individu dan masyarakat serta menjadikan perpustakaan lebih relevan dengan menjadikan Al-Quran sebagai asas kepada ilmu pengetahuan.

Tepat jam 12.00 tengah hari menandakan bahawa berakhirnya satu jam Program Malaysia #QuranHour pada tahun 2018.

Disediakan oleh: Noor Shazatul Niesha Binti Muhamad Fadzri

Gambar oleh: Mohamad Fuzi Ismail

32total visits,3visits today