PSB ZAHIRKAN PENGHARGAAN KEPADA PELAJAR LATIHAN INDUSTRI

31 Disember 2017 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) amat berbesar hati  dan sentiasa memberi peluang kepada pelajar-pelajar praktikum yang ingin menjalani latihan industri mereka di sini. Tidak terkecuali Cik Nurul Syazwany Binti Harunnalrashid, pelajar Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan daripada Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah yang telah menjadikan PSB sebagai tempat pilihan beliau untuk menimba pengalaman dan ilmu mengenai pengurusan perpustakaan bagi memenuhi keperluan pembelajaran sebelum menamatkan pengajian beliau.

Beliau mula menyertai PSB pada 1 Ogos 2017 sehingga 31 Disember 2017. Oleh itu satu majlis ringkas penyampaian sijil penghargaan oleh Encik Salleh Hudin Mustaffa, Ketua Pustakawan PSB telah diadakan bertempat di Bilik Ketua Pustakawan dengan turut disertai oleh Encik Muhamad Mazlan Jalla, Timbalan Ketua Pustakawan dan Encik Razak Siamin, Pustakawan Kanan. Di kesempatan itu, banyak tips dan ilmu yang turut dikongsi oleh Ketua Pustakawan sebagai pesanan kepada beliau sebagai persediaan menghadapi dunia luar yang penuh mencabar kini.

Menyingkap sepanjang penglibatan beliau bersama PSB, beliau telah didedahkan dengan pelbagai aspek di jabatan ini yang meliputi peranan, tanggungjawab dan fungsi di setiap bahagian dalam memberi perkhidmatan kepada semua pengguna disamping memenuhi kehendak pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan. Beliau juga telah turut sama melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti anjuran PSB yang telah membolehkan beliau bergaul dan beramah-mesra dengan staf-staf PSB sepanjang beliau berada di sini.

Semoga segala ilmu dan pengalaman yang ditimba serta tunjuk ajar oleh staf PSB dan pengguna disepanjang tempoh beliau menjalani latihan industri ini dapat dimanfaatkan nanti apabila beliau di alam pekerjaan kelak.  ​

Disediakan oleh : Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh: Zaiful Izwan Ibrahim

42total visits,2visits today