SESI BERSAMA PENGURUSAN PSB SUNTIK SEMANGAT BAHARU

17 Oktober 2018 – Satu sesi taklimat bersama Pengurusan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan, PSB bermula jam 9.00 pagi.

Pada sesi ini, terdapat beberapa slot yang telah disampaikan oleh beberapa individu yang berbeza. Pada slot pertama, ianya telah disampaikan oleh Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa. Beliau menyentuh mengenai beberapa perkara dan makluman yang warga PSB harus peka maklum antaranya adalah pelantikan Naib Canselor yang baharu iaitu Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani selain pelancaran Muzium Pengurusan UUM yang masih di bawah seliaan pihak PSB. Selain itu juga, beliau turut memaklumkan bahawa penukaran nama baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beliau juga turut menyampaikan hasrat kementerian iaitu dengan mengambil langkah untuk  mengadakan dan memperbanyakkan program galakan membaca. Program ini adalah bertujuan untuk menggalakkan serta mempertingkatkan kadar pembacaan rakyat Malaysia. Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai “10 Info Utama dalam bicara khas RTM bersama Menteri Pendidikan” antaranya adalah perkara yang kesepuluh iaitu ‘Menuju Negara Membaca 2030’. Oleh itu dalam merealisasikannya, pelaksanaan program “U Read U Write” adalah sebahagian daripada “10 strategi pelan tindakan bersepadu penggiatan budaya membaca IPT” yang telah beliau kongsikan kepada semua warga PSB.

Usai taklimat oleh Ketua Pustakawan, slot kedua diteruskan dengan sesi taklimat ringkas oleh Penolong Pendaftar PSB iaitu En. Saarif Rosli Saarif Ahmad. Di kesempatan ini, beliau menyentuh mengenai etika pemakaian staf UUM, dasar kehadiran, cuti dan pengurusan aset dan inventori jabatan. Beliau juga turut mengingatkan bahawa semua warga PSB haruslah mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan supaya dapat menjadi pekerja yang cemerlang dan berdedikasi.

Seterusnya, sesi taklimat diteruskan dengan slot yang ketiga iaitu oleh En. Razak Siamin selaku Ketua Jabatan Sumber Ilmu dan  Sistem Pengurusan Kualiti. Beliau berkongsi mengenai perkembangan Jabatan Sumber Ilmu dan mengingatkan warga PSB supaya membuat persediaan bagi menghadapi audit yang akan datang dan peka dengan fokus audit yang terbaharu iaitu mengenai pengurusan risiko.

Setelah itu, slot keempat telah disampaikan oleh En. Muhammad Mazlan Jalla selaku Timbalan Ketua Pustakawan merangkap Ketua Jabatan Perkhidmatan Pelanggan. Beliau menyentuh mengenai perkhidmatan PSB yang telah membuka keahlian kepada orang awam. Kemasukan percuma adalah kepada semua warganegara Malaysia namun bagi bukan warganegara, mereka perlu membayar sejumlah RM35. Walaubagaimanapun, kepada pelajar IPTA yang bukan warganegara Malaysia adalah tidak dikenakan sebarang bayaran untuk masuk. Selain itu juga, beliau turut mengingatkan warga PSB supaya mengambil tahu mengenai lokasi-lokasi bahan yang terkini antaranya adalah lokasi koleksi kertas soalan peperiksaan, lokasi koleksi media terutama bahan berbentuk digital dan elektronik. Ini penting untuk membantu kelancaran perkhidmatan.

Sesi taklimat bersama pengurusan ini telah berakhir pada jam 10.30 pagi sebelum ianya disambung dengan sesi seterusnya iaitu latihan dalam kumpulan di mana ianya hanya melibatkan staf terpilih sahaja. Sedikit mengenai sesi ini, kesemua peserta adalah terdiri daripada Pembantu Perpustakaan dengan kerjasama pelajar-pelajar latihan industri yang bertindak sebagai fasilitator. Sesi ini juga dipantau oleh Ketua Pustakawan sendiri di mana peserta telah dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan bagi membincangkan mengenai bagaimana meningkatkan mutu perkhidmatan PSB kepada pengguna.

Sesi tamat sekitar jam 12.00 tengahari dan semoga segala apa yang telah disampaikan oleh pihak pengurusan PSB akan menjadi satu pemangkin semangat yang baharu buat semua warga PSB untuk terus maju dan berjaya.

Disediakan oleh : Noraini Alias

Gambar oleh Mad Affrizi Bin Ismail

38total visits,2visits today