STAF PSB DIBERI PENDEDAHAN TATACARA KEWANGAN UNIVERSITI

22 Ogos 2017 – Seramai 43 orang staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) diberi pendedahan mengenai Tatacara Kewangan Universiti di dalam taklimat yang telah berlangsung di Auditorium 1, Bangunan Utama, PSB hari ini. Taklimat ini telah disampaikan oleh dua orang pegawai yang dijemput khas daripada Jabatan Bendahari iaitu En. Abdul Roni Baharom dan En. Zulkifli Omar.

Sesi taklimat yang pertama disampaikan oleh En. Abdul Roni Baharom, dimana beliau menyentuh perkara-perkara yang penting seperti tatacara perolehan, isu-isu semasa kewangan di UUM dan cabaran tadbir urus kewangan dalam era autonomi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Selain itu juga, beliau turut berkongsi mengenai prinsip-prinsip dan dasar-dasar perolehan kerajaan serta tanggungjawab sebagai pegawai awam yang menguruskan perolehan. Tambah beliau lagi, perolehan yang efisien adalah perolehan yang diuruskan secara cekap, berkesan dan paling menguntungkan bagi mencapai matlamat perolehan tersebut.

Sementara itu, sesi taklimat kedua telah disampaikan oleh En. Zulkifli Omar dari Unit Aset dan GST. Beliau membincangkan mengenai tatacara pengurusan aset tetap, inventori dan stor. Beliau juga turut memberitahu mengenai tindakan-tindakan yang harus dilakukan dalam menguruskan aset bermula daripada proses penerimaan, pendaftaran, penggunaan, penyimpanan dan pemeriksaan, penyelenggaraan, pelupusan dan proses akhir iaitu kehilangan dan hapus kira.

Turut hadir dalam taklimat ini adalah En. Muhamad Mazlan Jalla, Timbalan Ketua Pustakawan, En. Abu Bakar Mat Safar, Pegawai Tadbir, pustakawan-pustakawan serta staf yang terlibat. Taklimat ini telah bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengahari.

Disediakan dan gambar oleh : Noraini Alias

31total visits,2visits today