STAF PSB TERIMA BANTUAN DAN SUMBANGAN MANGSA BANJIR

Walaupun banjir besar yang melanda Kelantan telah berlalu hampir 2 bulan, namun keperitan yang ditanggung oleh mangsa banjir masih terasa kerana mereka terpaksa menanggung pelbagai kesulitan akibat kerosakan dan kehilangan harta benda. Menyedari hakikat ini, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah melancarkan kutipan derma berupa wang ringgit untuk disumbangkan kepada keluarga staf PSB yang terlibat dengan bencana banjir ini. Pihak PSB telah mengenalpasti 3 orang staf yang ibubapa mereka terlibat dengan banjir di Kelantan iaitu Puan Norihan Anah, Puan Zaleha Encik Kob dan Cik Norzaiyana Ab Rasib.

Suatu majlis ringkas penyerahan wang derma banjir telah di adakan di Bilik Mesyuarat Ketua Pustakawan pada 17 Februari 2015 (Selasa). Encik Salleh Huddin Mustaffa, Ketua Pustakawan telah menyampaikan sumbangan kepada Puan Zaleha Encik Kob dan Cik Norzaiyana Ab Rasib untuk diserahkan kepada keluarga masing-masing. Ketua Pustakawan di dalam ucapan ringkasnya menyatakan musibah yang melanda keluarga tempiasnya pasti sampai kepada staf yang terbabit. Oleh itu sebagai tanda prihatin, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga masing-masing. Cik Nor Zaiyana merupakan Pembantu Perpustakaan yang bertugas di Bahagian Siri, PSB. Beliau amat terharu dengan sumbangan ini dan menyatakan “saya tidak menyangka bantuan seumpama ini diberikan serta prihatin di kalangan staf PSB sendiri dan saya juga redha dengan ketentuanNya”.

Sementara itu, sumbangan kepada keluarga Puan Norihan Anah akan disampaikan terus kepada keluarga beliau di Machang Kelantan bersempena dengan program penghantaran sumbangan buku oleh PSB kepada Universiti Malaysia Kelantan. Selain itu pihak PSB akan turut menyampaikan sumbangan wang derma hasil kutipan daripada staf PSB kepada Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.

Oleh: Isanuddin Bidin | Gambar oleh: Abu Hassan Hj. Ghazali dan Mazyana Hashim

45total visits,1visits today