PSB RANGKUL 3 KEJUARAAN DI AWAL TAHUN 2015

Tirai 2015 dibuka dengan begitu indah bagi Perpustakaan Sultanah Bahiyah kerana berjaya merangkul beberapa anugerah yang telah dipertandingkan seperti pemenang ‘Tempat Pertama bagi Kategori Pusat Tanggungjawab Utama Terbaik (Empat Bintang)’, ‘Anugerah Persekitaran Berkualiti (5s/QE) Peringkat Universiti 2014 Kategori Jabatan A’ dan yang terbaru adalah ‘Juara Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) 2014′

Bagi menyingkap detik manis itu, ianya bermula apabila bersempena dengan Majlis Amanat Naib Canselor 2015 yang berlangsung pada 2 Februari 2015, Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah dinobatkan sebagai pemenang ‘Tempat Pertama bagi Kategori Pusat Tanggungjawab Utama Terbaik (Empat Bintang)’. Bertempat di Dewan Muadzam Shah, anugerah tersebut telah disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak. Penganugerahan ini merupakan satu semangat baru bagi semua staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah dalam terus memberi khidmat yang berkualiti dan cemerlang bagi meralisasikan impian UUM.

Selain itu, tahun 2015 ini juga turut diserikan lagi dengan penganugerahan ‘Anugerah Persekitaran Berkualiti (5s/QE) Peringkat Universiti 2014 Kategori Jabatan A’, yang turut dimenangi oleh Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000 berserta sijil. Anugerah ini diumumkan di Dewan Seminar A,Pusat Konvensyen UUM bersempena dengan Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Lebih manis untuk diceritakan di sini ialah mengenai penglibatan terkini PSB di dalam Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2014. Kumpulan Smarty dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah berjaya memikat hati juri apabila dinobatkan sebagai juara Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Utara Malaysia (UUM) 2014 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM pada 26 Februari 2015.Ianya menjadi lebih gamat apabila PSB turut memenangi Anugerah Terbaik bagi kategori Fasilitator.

Kumpulan Smarty yang dianggotai tujuh ahli termasuk seorang fasilitator berjaya menewaskan 13 pasukan lain yang mewakili Pusat Tanggungjawab (PTJ) masing-masing bagi merebut gelaran juara dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM 5,000, piala dan sijil penghargaan.

Fasilitator Smarty, Hanie Azyyati Abdul Jamil berkata, pasukan mereka telah menghasilkan produk ‘Malaysian Academic Libraries Repository’ bertujuan menyelesaikan masalah kesukaran pencarian bahan dalam laman Repository perpustakaan.

“Kami melihat projek ini memberi kesan berguna kepada pengguna, bukan sahaja di UUM malah turut melibatkan IPTA lain.

“Projek ini telah berjalan sejak September lalu bagi meningkatkan akses kepada bahan penerbitan dan secara tidak langsung menambahbaik sistem i-Repository yang menghadapi masalah,” katanya. Tambahnya lagi, dengan produk baru itu pengguna dapat mencari hasil penerbitan pensyarah seperti jurnal dan tesis.

Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2014 merupakan anjuran kali ketiga oleh IPQ bertujuan memberi ruang kepada warga UUM tanpa mengira pangkat dan latar belakang untuk menzahirkan bakat mereka dalam membantu UUM merealisasikan agenda universiti.

Setiap pasukan telah dinilai oleh juri-juri KIK dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Wilayah Utara dan Institut Tadbiran Negara (INTAN), Kampus Wilayah Utara.

Alhamdulillah, semoga Perpustakaan Sultanah Bahiyah terus menempa kejayaan di masa akan datang dan akhir kata, kudos kepada semua warga Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Anda sememangnya terbaik!

Oleh: Noraini Alias | Gambar oleh : Mohd Fuzi Ismail

79total visits,1visits today