STAF PSB TERIMA LATIHAN SISTEM E-POST DAN ONLINE MEETING

23 April 2019 – Satu taklimat penggunaan E-Post dan Online Meeting telah diadakan bertempat di Makmal Komputer 2, Bangunan Tambahan, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Taklimat ini adalah anjuran Bahagian Pentadbiran, PSB.

Penerangan mengenai Sistem E-Post telah disampaikan oleh En. Fairuz Addnan, Pegawai Teknologi Maklumat daripada UUMIT. Menurut beliau, fungsi utama Sistem E-Post adalah untuk memudahkan pengendalian dan hebahan surat umum dan surat sulit supaya ianya dapat dicapai dengan mudah oleh pengguna yang berautoriti terhadap surat tersebut. Secara umumnya, sistem ini mempunyai dua jenis pengguna seperti pengguna biasa dan urusetia atau pentadbiran. Pengguna ini boleh mengakses kepada pelbagai surat yang telah dimuatnaik oleh urusetia atau pentadbiran. Keperluan dalam penggunaan e-post adalah yang pertamanya, surat tersebut perlu terlebih dahulu diminitkan oleh Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ), kedua, surat tersebut perlu ditukar ke dalam bentuk digital dan terakhir barulah ianya boleh dimuatnaik ke dalam sistem. Bagi tujuan ini, pihak UUMIT telah menyediakan manual penggunaan Sistem E-Post untuk rujukan pengguna.

Seterusnya, taklimat diteruskan oleh En. Mohd Radzi Awang@Othman,  Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, UUMIT untuk memberikan penerangan mengenai Sistem Online Meeting. Menurut beliau, fungsi utama Sistem Online Meeting adalah untuk membolehkan pengendalian mesyuarat dilakukan secara berpusat selain ianya dapat  membantu urusetia dan ahli mesyuarat. Ahli mesyuarat hanya perlu mengakses melalui portal sahaja untuk melihat agenda mesyuarat, lampiran dan kertas kerja serta senarai minit mesyuarat.

Taklimat ini telah berakhir sekitar jam 11.00 pagi.

 

Disediakan dan gambar oleh: Noraini Alias

115total visits,1visits today

Share :