TAKLIMAT “WRITE IT, PUBLISH IT, SELL IT” MENDAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Sesi ceramah yang bertajuk “Write It, Publish It, Sell It” anjuran Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah diadakan pada 1 Mac 2017 bertempat di Auditorium 2, PSB. Ceramah oleh Dr. Wong Woei Fuh yang merupakan seorang Konsultan Pendidikan dan Penyelidikan daripada iGroup Asia Pacific telah mendapat sambutan yang agak menggalakkan.

Sesi berlangsung selama 3 jam ini telah berjaya menghimpunkan ramai peserta daripada kalangan pensyarah, penyelidik dan pelajar pasca siswazah. Topik utama yang dibincang dan dikongsi bersama adalah mengenai bagaimana caranya para penyelidik dapat mengoptimakan segala isi maklumat yang mereka ada dan seterusnya memaksimakan hasil output penyelidikan yang telah dijalankan melalui penerbitan artikel yang berkualiti.

Selain itu juga, Dr. Wong merupakan seorang yang berpengalaman luas di dalam bidang penyelidikan maklumat turut berkongsi pelbagai idea bernas dan bermutu dalam aspek penilaian penyelidikan serta membina jaringan kerjasama dalam memenuhi kepelbagaian bidang sains masa kini. Di akhir sesi ceramah, beliau turut memberikan panduan bagaimana untuk memasarkan hasil penyelidikan agar dapat diakses dan dirujuk oleh ramai penyelidik atau pembaca yang lain.

Penganjuran taklimat ini, adalah merupakan sebahagian daripada aktiviti Hari Bertemu Pelanggan PSB 2017 yang sedang berlangsung bermula 26 Februari 2017 sehingga 2 Mac 2017. Semoga dengan penganjuran aktiviti seperti ini dapat membantu para pelajar dan pensyarah meningkatkan lagi sitasi penerbitan mereka.

Disediakan oleh : Noraini Alias

Gambar oleh : Siti Nor Hajar Abd Rahman

29total visits,1visits today