STAF PSB PERLU TERAP BUDAYA INTEGRITI DAN KUALITI KERJA DALAM MEMBERIKAN PERKHIDMATAN

6 April 2017 – Satu ceramah bertajuk “Peribadi Yang Mulia dan Amanah” yang bertemakan “Integriti: Fantasi dan Realiti” telah dianjurkan oleh Bahagian Latihan dan Kualiti, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) kepada semua staf perpustakaan bertempat di Auditorium 2, Bangunan Tambahan, PSB.

Menyentuh mengenai tajuk ini, kita sedar bahawa sejak akhir-akhir ini banyak diperkatakan mengenai isu yang melibatkan integriti terutamanya di kalangan penjawat awam. Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah dan penyelewengan menjadi semakin meruncing ketika ini walaupun ianya hanya dilakukan oleh segelintir sahaja individu bergelar penjawat awam namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam di negara ini. Oleh yang demikian, PSB telah mengambil langkah proaktif dengan menjemput Encik Muzammil Mahmud dari Unit Integriti UUM bagi memberi pencerahan dan berkongsi pengalaman berhubung isu ini kepada hampir 70 orang staf PSB yang hadir dalam ceramah ini.

Objektif ceramah adalah untuk memberi pendedahan agar staf PSB dapat memahami, menghayati, menerapkan dan mengamalkan elemen integriti dalam tugas harian. Beliau menerangkan fungsi Unit Integriti iaitu sebuah unit khas yang ditubuhkan untuk mengawal pengurusan integriti di sesebuah agensi perkhidmatan awam.

Oleh yang demikian, integriti serta akauntabiliti adalah antara prinsip utama yang perlu ada dalam setiap diri penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Pelaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan dan disertai dengan amalan prinsip-prinsip integriti akan dapat memastikan segala peruntukan yang diberikan kepada setiap agensi, program, aktiviti atau projek dapat disalurkan kepada pihak yang sepatutnya tanpa menghadapi risiko ketirisan atau kebocoran.

Antara perkara yang diberi dibincangkan adalah isu-isu yang kerap kali berlaku di UUM iaitu tiada komunikasi antara pegawai dan staf sokongan, masalah staf yang hadir lewat, keluar waktu pejabat dan sebagainya. Antara yang diberi penekanan oleh En. Muzammil adalah isu penerimaan hadiah atau tajaan daripada pembekal tanpa melapor kepada ketua jabatan. Selain itu, staf turut didedahkan dengan terperinci mengenai Dasar Pemisah ataupun Exit Policy dalam perkhidmatan awam.

Malah beliau turut kongsikan hasrat kerajaan yang telah lama cuba untuk menerapkan perkhidmatan awam yang lebih berkualiti serta berintegriti dalam negara ini melalui pengenalan beberapa dasar dan polisi yang berkaitan bermula dengan pelancaran kempen Bersih, Cekap dan Amanah pada 1982, kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 1983, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam pada 1985, Etika Kerja Islam pada 1987, Budaya Kerja Cemerlang pada 1989, Anugerah Kualiti pada 1990, Piagam Pelanggan pada 1993, e-kerajaan dan MS ISO 9000 pada 1996, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2002, petunjuk prestasi utama (KPI) dan Islam Hadhari pada 2005 dan lain-lain lagi.

Segala dasar dan polisi berkaitan yang dilaksanakan seharusnya di­amalkan oleh semua penjawat awam dengan sepenuh hati supaya mereka dapat melakukan sebarang tugasan yang diberikan dengan baik dan cekap di samping dapat terus memajukan sektor awam di negara ini.

Ceramah ini juga turut dihadiri Puan Shukra Shuib,Timbalan Ketua Pustakawan dan berakhir pada jam 11.00 pagi.

Disediakan oleh: En. Ku Azmi Ku Ibrahim

Gambar oleh: En. Md Affrizi Ismail & Cik Noraini Alias

21total visits,1visits today