ZON BAIDURI JUARAI PERTANDINGAN ZON KREATIF & INOVATIF 5S

Jutaan tahniah diucapkan kepada Zon Baiduri kerana telah berjaya merangkul gelaran juara Pertandingan Zon Kreatif dan Inovatif 5S anjuran Jawatankuasa 5S Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB).

Pertandingan Zon Kreatif dan Inovatif merupakan salah satu aktiviti 5S yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 5S PSB bagi memupuk budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan staf PSB. Pertandingan ini telah berlangsung pada April 2018 sehingga November 2018. Setiap zon adalah diwajibkan untuk mempamerkan kreativiti masing-masing bagi menghasilkan satu inovasi dalam memperbaiki mutu kerja.

Penilaian pertandingan telah dilakukan pada 29 November 2018 oleh Jawatankuasa Penilaian yang diketuai oleh En. Razak Siamin, En. Saarif Rosli Saarif Ahmad dan juga Cik Zuraidah Darus. Antara tumpuan penilaian yang diambil kira ialah kreativiti idea, hasil inovasi, nilai-nilai estetika seperti kesenian, keunikan serta impak atau faedah yang diperolehi hasil daripada inovasi yang dicipta.

Pengumuman dan penyampaian hadiah kepada pemenang telah diadakan pada 10 Februari 2019 bersempena Majlis Taklimat Ketua Pustakawan 2019 bersama semua staf Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) yang lalu. Johan pertandingan telah berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM300 beserta sijil penghargaan. Manakala, naib juara adalah milik Zon Zamrud yang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM200 berserta sijil penghargaan. Tempat ketiga pula telah dimenangi oleh Zon Nilam dan telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100 beserta sijil penghargaan. Penyampaian hadiah kepada semua pemenang telah disampaikan oleh Ketua Pustakawan iaitu En. Salleh Hudin Mustaffa.

Majlis tersebut telah berakhir sekitar jam 11.30 pagi dan jutaan tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

 

Disediakan oleh : Noraini Alias

Share :