
PSB ONLINE, 23 Ogos 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan kerjasama Muzium Negeri Kedah telah menganjurkan Program USR-SDG di Tahfiz Lembah Palas, Changlun, Kedah sebagai usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat dan menyokong agenda pembangunan mampan.
Program ini dilaksanakan selaras dengan Teras 3 Pelan Strategik Universiti 2021-2025 yang menekankan Pencapaian Penglibatan Komuniti dan Industri yang Mampan, sekali gus mendokong aspirasi nasional melalui nilai ihsan yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI.


Pelaksanaan program berkenaan melibatkan tiga elemen Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, serta SDG 17: Rakan Kerjasama untuk Matlamat. Elemen tersebut diterapkan menerusi aktiviti yang dirancang secara inklusif untuk pelajar tahfiz dan komuniti sekitar.
Program yang berlangsung seharian dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang menghimpunkan seramai 80 orang termasuk staf PSB dan Muzium Pengurusan, wakil Muzium Negeri Kedah, guru serta pelajar Tahfiz Lembah Palas. Tahfiz persendirian ini turut dikenali sebagai pusat yang berperanan membangunkan generasi pencinta Al-Quran.
Antara objektif utama program ialah menggalakkan pelajar berfikir secara kritis dan analitik, memupuk minat dalam pembelajaran berasaskan inkuiri serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan budaya tempatan. Nilai amalan hijau dan kelestarian alam sekitar juga disemai bagi membentuk generasi yang bertanggungjawab terhadap sumber sekeliling.
Pengisian program dimulakan dengan senaman ringan dan kibar jalur gemilang. Kemudian diteruskan dengan aktiviti yang melibatkan stem dan kebudayaan.
Pada sebelah tengah hari, program diteruskan dengan aktiviti gotong-royong melibatkan pelajar tahfiz bersama-sama staf UUM bagi memastikan persekitaran pusat pengajian kekal bersih dan selesa. Aktiviti ini bukan sahaja membina kerjasama tetapi turut menanam rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.
Sesi petang pula memberi tumpuan kepada kerja-kerja khidmat masyarakat yang dijalankan di Perpustakaan Mini Tahfiz. Antara aktiviti termasuk menyusun semula ruang santai, pameran Al-Quran, rak buku, komputer serta membersihkan keseluruhan ruang agar lebih kondusif untuk pembelajaran.
Majlis penutup diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pelajar serta penyerahan sumbangan buku sebagai tanda sokongan kepada pihak tahfiz. Inisiatif ini diharap dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus menimba ilmu dan memperkaya pengalaman mereka dalam pelbagai bidang.
Pelaksanaan Program USR-SDG ini bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada komuniti, malah memperkukuh imej UUM sebagai universiti yang komited dalam tanggungjawab sosial, pembangunan pendidikan berkualiti serta pemeliharaan warisan budaya tempatan secara mampan.
Disediakan oleh: Nur Alia Natasya Mohd Azizul Helmi
Pelajar Latihan Industri
Diploma Pengurusan Maklumat, UiTM Kelantan
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail