PSB Online, Pada jam 9.00 hingga 9.30 pagi hari ini, telah berlangsung Majlis Penyerahan Sumbangan Kipas untuk kegunaan Surau Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM). Program ini diadakan bersempena dengan Minggu Wakaf UUM 2025 dan dianjurkan oleh Pusat Zakat dan Wakaf (PZW), UUM.
Majlis ini diadakan di Sudut Sasterawan PSB dan turut dihadiri oleh Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali, Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM, serta Prof. Dr. Che Azlan Taib, Ketua Pustakawan PSB UUM. Turut hadir ialah staf dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan Pusat Zakat dan Wakaf UUM.
Majlis dimulakan oleh pengacara majlis, Puan Aini Bahrum, Pegawai Tadbir di Pusat Zakat dan Wakaf UUM, yang mengalu-alukan kedatangan para tetamu. Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Encik Amerul Shafiz Hasbullah.
Selepas bacaan doa, pengacara majlis menjemput Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali untuk menyampaikan ucapan. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa konsep wakaf tidak seharusnya terbatas kepada tiga perkara utama sahaja iaitu masjid, makam dan madrasah.

Beliau menegaskan bahawa wakaf sebenarnya turut merangkumi pelbagai bidang lain seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan ekonomi, kebajikan sosial, serta pemeliharaan alam sekitar. Semua ini, katanya, dapat memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat secara menyeluruh.
Dr. Mohamad Zulkurnai turut menyatakan bahawa sumbangan kipas kepada surau PSB ini bertujuan untuk memberi keselesaan kepada para pengguna surau, khususnya selepas waktu pejabat apabila sistem penghawa dingin ditutup. Inisiatif ini juga mencerminkan semangat wakaf yang mementingkan kesejahteraan komuniti.
Majlis kemudian diteruskan lagi dengan ucapan oleh Ketua Pustakawan PSB, Prof. Dr. Che Azlan Taib. Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang kepentingan melakukan kebaikan walaupun dalam perkara kecil.
Beliau turut memetik ayat daripada Surah Al-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya).”

Menurut beliau, ayat tersebut mengingatkan kita bahawa setiap perbuatan manusia, sama ada baik atau buruk, walaupun kecil, tidak akan terlepas daripada penilaian Allah. Tiada kebaikan yang sia-sia dan tiada kejahatan yang terlepas tanpa pembalasan. Ayat ini juga mengingatkan bahawa Allah menilai setiap perbuatan manusia dengan adil, termasuk niat dalam memberi zakat dan wakaf. Ia mengajar supaya beramal dengan ikhlas, bukan kerana pujian manusia.
Setelah selesai sesi ucapan, majlis diteruskan dengan acara simbolik penyerahan sumbangan kipas oleh Dr. Mohamad Zulkurnai Ghazali kepada Prof. Dr. Che Azlan Taib. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan ucapan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir, menandakan berakhirnya satu lagi inisiatif penuh makna sempena Minggu Wakaf UUM 2025.
Disediakan oleh: Aina Syafariza Marzuki
Pelajar Latihan Industri,
Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail
