PSB ONLINE: 21 Okt 2025– Program Sesi Libatsama Ketua Pustakawan Bersama Pensyarah Muda telah diadakan di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi. Seramai 19 orang pensyarah muda dari pelbagai fakulti Universiti Utara Malaysia (UUM) hadir bagi mengikuti sesi libatsama ini. Program ini dikendalikan oleh Ketua Pustakawan PSB, Prof. Dr. Che Azlan Taib sebagai fasilitator utama.
Selepas sesi sarapan pagi, program dimulakan pada jam 10.00 pagi dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh pengacara majlis, Puan Wan Hanis Kamarruddin. Seterusnya, sesi diteruskan dengan pembentangan oleh Ketua Pustakawan PSB yang mengupas pelbagai agenda penting berkaitan fungsi dan peranan perpustakaan.
Agenda pertama menyentuh mengenai latar belakang PSB. Prof. Dr. Che Azlan menjelaskan sejarah pembinaan PSB yang terdiri daripada dua bangunan utama iaitu bangunan lama dan bangunan baharu. Beliau turut menerangkan fungsi setiap bangunan serta peranan ruang-ruang yang ada di dalamnya.
Beliau kemudian memaparkan carta organisasi PSB bagi membolehkan para pensyarah mengenali pegawai yang bertanggungjawab dalam setiap seksyen. Pengenalan ini penting agar urusan berkaitan perkhidmatan atau permohonan maklumat dapat disalurkan kepada pegawai yang tepat.
Seterusnya, laman sesawang PSB turut diperkenalkan sebagai platform utama rujukan akademik. Melalui portal ini, para pensyarah dan pelajar boleh mengakses pelbagai bahan seperti koleksi digital, e-book, jurnal dalam talian dan pangkalan data langganan PSB dengan mudah.
Dalam sesi penerangan, Prof. Dr. Che Azlan turut menjelaskan tentang koleksi yang terdapat di PSB. Koleksi tersebut merangkumi bahan bercetak dan digital yang ditempatkan di kedua-dua bangunan perpustakaan. Penjelasan ini membantu pensyarah mengetahui lokasi bahan dan jenis sumber yang boleh digunakan dalam pengajaran serta penyelidikan.
Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai pelbagai perkhidmatan utama yang ditawarkan oleh PSB termasuk pembaharuan dalam talian, tempahan item dan pinjaman antara perpustakaan. Turut diterangkan ialah perkhidmatan tambahan seperti penasihat pengguna, penyemak plagiarisme serta kemudahan untuk pensyarah mengendalikan kelas di kawasan sekitar PSB.
Sesi diteruskan dengan segmen soal jawab di mana para pensyarah berpeluang mengajukan soalan berkaitan perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan. Antara persoalan yang dikemukakan ialah status bahan yang hilang, cara mengakses pangkalan data dalam talian serta penggunaan ‘stack room’.
Dalam penutup sesi, Ketua Pustakawan turut berkongsi beberapa cadangan untuk memperkukuh hubungan antara PSB dan komuniti akademik. Antara cadangan termasuklah penglibatan pensyarah sebagai Library Ambassadors, pelantikan pegawai penghubung (liaison officer), serta pelaksanaan bengkel kolaborasi antara PSB dan fakulti.
Program berakhir pada jam 11.15 pagi dengan sesi bergambar bersama para pensyarah. Sesi libatsama ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara PSB dan pensyarah muda, selain meningkatkan kefahaman mereka terhadap peranan perpustakaan dalam menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di UUM.
Disediakan oleh: Aina Syafariza Marzuki
Pelajar Latihan Industri,
Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail