PSB BIMBING STAF KENAL PASTI PUNCA MASALAH SECARA SISTEMATIK

PSB ONLINE, 20 Januari 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Bengkel Penyelesaian Masalah Secara Kreatif dan Sistematik bagi membimbing peserta memahami pendekatan menyeluruh dalam mengenal pasti punca sebenar masalah serta merangka penyelesaian yang berkesan di tempat kerja.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Profesor Dr. Che Azlan Taib, Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan disertai seramai 35 orang peserta, termasuk 30 staf Universiti Utara Malaysia dan lima wakil agensi luar.

Menurut Profesor Dr. Che Azlan, banyak masalah di tempat kerja sering diselesaikan secara reaktif tanpa memahami punca sebenar, sekali gus menyebabkan isu yang sama berulang. “Masalah yang kita lihat selalunya hanyalah kesan. Jika puncanya tidak dikenal pasti dengan betul, penyelesaian yang dibuat hanya bersifat sementara,” katanya.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada penggunaan beberapa alat dan teknik penyelesaian masalah seperti Fishbone Diagram dan 5 Why’s bagi membantu mengenal pasti punca sebenar sesuatu isu secara sistematik dan berfakta.

Selain itu, bengkel ini turut menekankan penggunaan Analisis SWOT dan Carta Pareto bagi menilai situasi secara lebih objektif, di samping mengimbangi keperluan data dan faktor kemanusiaan dalam proses membuat keputusan.

Pendekatan yang diketengahkan dalam bengkel ini turut menggalakkan perubahan budaya kerja daripada amalan menuding jari kepada usaha menambah baik sistem dan proses kerja secara kolektif.

Penganjuran bengkel ini dilihat mampu meningkatkan keupayaan peserta dalam mengurus isu di tempat kerja secara lebih tersusun, berkesan dan berhikmah, selaras dengan usaha PSB menyokong pembangunan kompetensi dan pemikiran kritikal warga kampus.

 

Disediakan oleh : Ajmal Afif Abdul Rais
Gambar oleh: Syed Muhammad Amirul Ashraf Syed Ismail

News Archive
Skip to content