Transformasi Digital Pusat Sumber SK Kampong Gelam Bawa Impak Besar kepada Murid

PSB ONLINE: 21 Jun 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan lawatan susulan ke Ilmi Bookland (Pusat Sumber), Sekolah Kebangsaan Kampong Gelam (SKKG) bagi menilai impak Projek Kerjasama USR-SDG 2024/2025.

“Projek ini membawa impak besar kepada murid apabila mereka kini lebih berminat ke pusat sumber dan menjadikan membaca sebagai aktiviti yang menyeronokkan.”

Demikian menurut Guru Besar SKKG, Encik Muhamad Sofi Hashim, ketika ditemu bual sempena lawatan tersebut.

Lawatan melibatkan lima orang wakil staf PSB yang diketuai oleh Ketua Penolong Pustakawan, Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil. Program dimulakan dengan sesi temu bual sebelum tinjauan ke kemudahan pusat sumber yang telah dinaik taraf.

Guru Media Perpustakaan SKKG, Puan Norfawati Marali, memaklumkan transformasi yang dilaksanakan telah mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif.

“Persekitaran yang menarik serta sistem digital membantu murid mencari bahan dengan cepat dan efisien,” jelas beliau.

Beberapa orang murid turut melahirkan rasa gembira terhadap perubahan tersebut apabila pusat sumber kini lebih menarik dan mudah digunakan.

Sementara itu, Cik Hanie menjelaskan bahawa lawatan ini bertujuan menilai keberkesanan projek serta mendapatkan maklum balas untuk penambahbaikan berterusan, di samping mengesahkan peningkatan kualiti pembelajaran murid.

Projek transformasi ini menampilkan integrasi teknologi digital dan konsep moden, sekali gus menjadikan pusat sumber sebagai ruang pembelajaran abad ke-21 yang interaktif serta menyemai minat membaca dalam kalangan murid.

Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Ajmal Afif Abdul Rais

News Archive
Skip to content