PSB ONLINE: 30 Ogos 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Malaysia #QuranHour 2026 yang berlangsung secara dalam talian pada 30 Ogos 2026 bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Program yang bertemakan “Bangsa Berbudi & Penyayang” dengan slogan “Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera” ini memberi fokus kepada penghayatan Surah Al-Balad, yang mengetengahkan nilai-nilai kemanusiaan, keprihatinan sosial serta pembentukan masyarakat yang berakhlak mulia dan sejahtera.
Sesi dimulakan dengan bacaan al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Muhammad Aliff Samsun, diikuti dengan sesi tadabbur yang disampaikan oleh Prof. Dr. Shukri Ahmad. Melalui perkongsian tersebut, para peserta berpeluang memahami maksud dan mesej yang terkandung dalam Surah Al-Balad serta menghayati pengajaran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Menariknya, program ini berjaya menarik lebih daripada 50 peserta terdiri daripada warga UUM dan masyarakat luar. Walaupun berlangsung pada hari cuti, para peserta tetap meluangkan masa untuk bersama-sama mengimarahkan Malaysia #QuranHour 2026, sekali gus menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap usaha mendekati, memahami dan menghayati al-Quran sebagai panduan kehidupan.
Dalam sesi tadabbur tersebut, Prof. Dr. Shukri Ahmad menegaskan bahawa, “Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian agar dapat melahirkan masyarakat yang lebih beradab, penyayang dan sejahtera.”
Penganjuran program ini dilihat sebagai platform yang berkesan dalam memperkukuh budaya membaca, memahami dan mentadabbur al-Quran dalam kalangan warga universiti. Di samping itu, program ini turut mencerminkan komitmen PSB dalam menyokong agenda pembudayaan ilmu serta penghayatan nilai-nilai murni berteraskan ajaran al-Quran.
Diharapkan inisiatif seperti Malaysia #QuranHour akan terus mendapat sambutan pada masa hadapan dan menjadi medium yang mampu menyatukan masyarakat melalui pembacaan, pemahaman serta penghayatan al-Quran ke arah pembentukan Malaysia yang lebih sejahtera.
Disediakan oleh: Siti Ainsyah Kamis
Gambar oleh: Urusetia Malaysia #QuranHour (PSB dan Pusat Islam ,UUM)