PSB Online, 26 Oktober 2026 – Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar, Langgar, telah menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) KTP yang berteraskan pemindahan ilmu dan teknologi perpustakaan.
Program berimpak tinggi ini bertujuan menaiktaraf Pusat Sumber Sekolah (PSS) Al-Ghazel ke arah pusat sumber digital seiring dengan transformasi pendidikan abad ke-21. Langkah ini sekaligus membantu meningkatkan mutu perkhidmatan serta kecekapan pengurusan PSS secara menyeluruh menerusi pemasangan Sistem SLiMS (Senayan Library Management System), iaitu sistem pengurusan perpustakaan berautomatik berasaskan sumber terbuka (open source).
Menurut Ketua Program, Noorfauziati Mat Yatim, sistem SLiMS yang diberikan secara percuma ini dilihat sebagai satu langkah yang amat positif. Sistem SLiMS bukan sahaja lebih praktikal, malah ia jauh lebih mesra pengguna dan mudah dikendalikan oleh warga sekolah bagi memastikan pengurusan harian perpustakaan berjalan lancar tanpa kekangan teknikal.
Bagi memastikan kelestarian projek dan pemindahan ilmu yang menyeluruh, program ini telah dijayakan melalui beberapa pengisian serta tentatif utama:
* Sesi Perkongsian Maklumat & Latihan Sistem: Slot intensif bersama Guru Pusat Sumber dan Pengawas Pusat Sumber mengenai kaedah pengendalian dan penggunaan Sistem SLiMS bagi memastikan proses pinjaman serta pemulangan buku selepas ini dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, cepat, dan efisien.
* Taklimat Dewey Decimal Classification (DDC): Pendedahan teknikal mengenai sistem pengelasan bahan perpustakaan standard global bagi membantu guru mengurus serta menyusun koleksi buku dengan lebih teratur.
* Aktiviti ‘Info Hunt’ Pengawas PSS: Aktiviti interaktif dan santai yang dirangka khusus untuk melatih para pengawas PSS sekolah berkenaan agar lebih mahir mencari maklumat sekali gus memupuk budaya celik teknologi maklumat (IT).
Program USR yang bermakna ini telah digerakkan secara kolaboratif dengan penglibatan seramai 10 orang ahli jawatankuasa .Komitmen dan tenaga disumbangkan telah melancarkan keseluruhan proses transformasi fizikal dan digital pusat sumber tersebut.
Dengan wajah baharu PSS Al-Ghazel yang lebih moden, digital, dan teratur, inisiatif ini diharap dapat menyuntik keterujaan baharu serta membantu menggalakkan minat membaca buku yang lebih mendalam dalam kalangan pelajar sekolah. Kerjasama ini membuktikan komitmen berterusan warga UUM dalam menyumbang kepakaran demi pembangunan serta pemerkasaan komuniti setempat.
Disediakan oleh: Zarith Sofea Zaharin
Gambar Oleh: Balqis Haslimi


