PSB UUM Kongsi Kepakaran Literasi Maklumat, Bantu Perkukuh Penulisan Ilmiah Warga IPDA

PSB Online, 2 November 2026– Peranan Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai pusat sokongan akademik terus diperkasakan melalui perkongsian ilmu bersama institusi luar.

Baru-baru ini, dua pustakawan PSB UUM, Puan Fadzilah Hussin dan Puan Siti Suriyani Muhammad, telah dijemput untuk mengendalikan Bengkel Penulisan Kajian Literatur dan Pengaplikasian Turnitin dalam Penulisan Ilmiah.

Program strategik anjuran Unit Peperiksaan dan Penilaian IPG Kampus Darulaman (IPDA) ini telah disertai oleh 60 orang pensyarah dan 145 orang pelajar. Kerjasama ini bertepatan dengan objektif IPDA untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara institusi dengan membawa masuk perkongsian ilmu daripada universiti ternama seperti UUM demi mengasah kemahiran penulisan penyelidikan para pelajar dan pensyarah.

Pengisian bengkel dibahagikan kepada dua sesi khusus:
* Sesi 1 (Bersama Pelajar): Bimbingan mengenai asas penulisan ilmiah yang merangkumi slot Avoiding Plagiarism (Menghindari Plagiat), teknik rujukan (Referencing), pengenalan kepada Turnitin Pelajar, serta aplikasi pengurusan rujukan Mendeley.

* Sesi 2 (Bersama Pensyarah): Perkongsian yang memfokuskan kepada pemerkasaan akademik melalui fungsi Turnitin for Instructor serta pendedahan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Penganjuran bengkel ini bukan sahaja menyokong usaha kecemerlangan akademik di peringkat IPDA, malah menonjolkan peranan aktif PSB UUM dalam membantu komuniti luar meningkatkan kemahiran literasi maklumat serta memelihara integriti akademik.

Disediakan oleh:Zarith Sofea Zaharin
Gambar oleh: Fadzilah Hussin & Siti Suriyani Muhammad

News Archive
Skip to content