AUDIT ANUGERAH KECEMERLANGAN UUM 2016/2017 PAMER NILAI POSITIF DAN KOMITMEN WARGA PSB

Bermula seawal jam 9.00 pagi pada 27 April 2017 yang lalu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah dikunjungi oleh 2 orang auditor iaitu Prof. Madya Dr Shri Dewi a/p Applanaidu dan En. Hairil Anuar Md Akil sempena Audit Anugerah Kecemerlangan UUM bagi sesi 2016/2017 bertempat di Bilik Mesyuarat Ketua Pustakawan, Paras 3, Bangunan Utama.

Setiap tahun auditor akan mengunjungi Jabatan yang terpilih untuk membuat penilaian daripada pelbagai aspek antaranya adalah dari segi pencapaian, pengiktirafan yang telah diperolehi, aktiviti-aktiviti anjuran jabatan, keberkesanan perkhidmatan yang telah disampaikan kepada pengguna perpustakaan dan lain-lain kriteria penilaian perkhidmatan yang telah ditetapkan. Sesi audit dipengerusikan oleh En. Razak Siamin, selaku wakil jabatan dan beliau turut dibantu oleh seorang Pustakawan iaitu Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil.

Selain itu, staf PSB juga ditemubual secara rawak oleh auditor bagi memenuhi keperluan penilaian anugerah tersebut. Kesemua warga PSB telah mendapat makluman awal berhubung perkara ini agar mereka lebih bersedia dan yakin untuk menjawab persoalan yang diajukan kepada mereka. Kerjasama serta komitmen yang telah diberikan oleh mereka juga mampu mempamerkan imej positif dan profesionalisme dalam menerima kunjungan Audit Anugerah Kecemerlangan UUM sesi 2016/2017 ini.

Kesimpulannya, semoga Audit Anugerah Kecemerlangan ini bakal memberi kebaikan dan manfaat kepada PSB dalam mencapai kecemerlangan menerusi perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kepada pengguna. Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada seluruh warga PSB atas komitmen yang telah ditunjukkan.

Disediakan oleh: Noraini Alias

Gambar oleh: Hanie Azyyati Abd Jamil & Noraini Alias

18total visits,1visits today