KUNJUNGAN DATO’ PROF. DR. SUDIN HARON KE PROFESSORS’ CORNER

18 Februari 2019 –  Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB) telah menerima kunjungan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dato’ Prof. Dr. Sudin bin Haron ke Professors’ Corner pada jam 3.00 petang. Beliau disambut meriah oleh Ketua Pustakawan, En. Salleh Hudin Mustaffa, pegawai-pegawai kanan dan warga PSB.

Professors’ Corner ini buat julung kalinya telah dilancarkan oleh beliau pada 18 Februari 2019 bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Pengasasan Universiti Utara Malaysia (UUM) Yang Ke-35 bertempat di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Professors’ Corner merupakan suatu sudut pameran berbentuk galeri yang terletak bersebelahan ruang legar bangunan utama Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Sudut ini mempamerkan bahan-bahan hasil penulisan profesor-profesor yang sedang berkhidmat di UUM. Pada masa ini terdapat 36 slot pameran disediakan, ini bermakna dalam satu-satu masa sudut ini akan memaparkan hasil karya dari 36 orang profesor-profesor terpilih. Bahan-bahan yang dipamerkan ini akan dikemaskini mengikut jeda masa tertentu sehingga semua profesor akan mendapat giliran di ruang pameran ini.

Pembinaan sudut ini juga adalah dari cetusan idea beliau rentetan daripada kunjungannya ke PSB pada tahun 2018 yang lalu dan ia telah siap dibangunkan pada bulan Februari 2019. Bahan-bahan yang diletakkan di ruangan ini adalah untuk tujuan pameran. Jika ada pengunjung yang berminat merujuk bahan-bahan yang dihasilkan oleh profesor-profesor ini mereka boleh mendapatkannya dari koleksi umum perpustakaan dan meminjamnya mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Bahan-bahan pameran untuk setiap profesor yang ada juga akan dikemaskini mengikut bahan-bahan terkini yang dihasilkan oleh mereka.

Tujuan sudut ini diwujudkan adalah untuk memberi makluman kepada pengunjung tentang sumbangan karya yang telah dihasilkan oleh profesor-profesor yang ada di UUM dalam bidang dan kepakaran masing-masing. Hasil-hasil karya ini juga boleh menjadi pencetus kepada percambahan idea kepada ahli-ahli akademik dan penyelidik-penyelidik yang lain untuk sama-sama menghasilkan karya yang boleh dimanfaatkan untuk perkembangan ilmu dan kegunaan dalam kehidupan masyarakat sekarang dan akan datang. Harapan kita agar dengan adanya sudut ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan budaya dan perkongsian ilmu melalui penghasilan karya. Ia juga diharapkan dapat menyumbang kepada pengukuhan budaya membaca di kalangan masyarakat dan seterusnya menggalakkan lagi proses pembelajaran sepanjang hayat.

Professors’ Corner secara fizikalnya boleh dikunjungi sepanjang masa mengikut waktu operasi PSB. Maklumat lanjut mengenai Pofessors’ Corner juga boleh didapati melalui laman sesawang PSB di alamat: https://library.uum.edu.my/uum-professors-corner/.

 

Disediakan oleh : Razak Siamin dan Hanie Azyyati Abd Jamil

Gambar oleh : Mohamad Fuzi Ismail

Share :